KUALA LUMPUR, Mac 16: Pergerakan Pemuda MIC bertekad bagi menjayakan Program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) yang di terajui oleh Kementerian Belia dan Sukan di dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mampu dilaksanakan dengan berkesan.
“Inisiatif MyVAC yang dilancarkan semalam adalah platform dan peluang terbaik bagi kita, golongan belia membantu usaha membendung serta menamatkan pandemik COVID-19 di Malaysia. Pemuda MIC di seluruh negara bersedia untuk mendaftar sebagai sukarelawan MyVAC dan menjalankan amanat sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan prihatin,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC hari ini.
MyVAC adalah pendekatan menyeluruh Kerajaan dan masyarakat, di mana orang ramai yang berminat boleh menjadi sukarelawan di 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan. Antara tanggungjawab sukarelawan ialah melakukan saringan suhu, mengawal orang ramai di PPV, menyelaras pertukaran tarikh bagi mereka yang gagal saringan suhu, mengedarkan borang kebenaran vaksinasi dan banyak lagi.
Inisiatif MyVAC diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan dan disokong oleh COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Bulan Sabit Merah yang juga menguruskan sistem pendaftaran bagi program tersebut.
“Sekretariat Pemuda MIC Kebangsaan akan memantau dan membantu proses pendaftaran sukarelawan MyVAC di kesemua 145 bahagian MIC di seluruh negara. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dilaksanakan secara efisien dan efektif bagi mencapai sasaran 80% populasi diberi vaksin Covid-19 sebelum Februari 2022. Peranan sukarelawan MyVAC amatlah signifikan bagi mencapai objektif ini.”
“Pemuda MIC juga akan bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat di dalam program MyVAC, khasnya Kementerian Belia dan Sukan di dalam memastikan kelancaran pendaftaran sukarelawan. Impak Covid-19 terhadap negara dan rakyat sudah cukup memudaratkan, sama-samalah kita menggembleng usaha dan tenaga di dalam membendung pandemic Covid-19 di Malaysia,” tambah Thinalan lagi.
MyVAC hanya dibuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan tidak terdedah kepada pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari. Latihan akan diberikan secara atas talian sebelum memulakan tugas. Mereka yang dipilih juga tidak akan diberikan kelebihan untuk mendapatkan vaksin lebih awal.
https://www.facebook.com/1495848423975368/posts/3210307069196153/?d=n
Add Comment