Mi-Voice MIC News

Penyediaan penginapan mengikut undang-undang mampu meningkatkan produktiviti pekerja – Menteri Sumber Manusia

KLANG, Mac 5: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini berkata penyediaan kemudahan penginapan pekerja mengikut standard yang ditetapkan undang-undang bukan sahaja menjadikan premis penginapan tersebut selamat didiami, malah boleh meningkatkan produktiviti pekerja.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi projek Penginapan Pekerja oleh Titijaya Land Berhad dan Seri Meraga Group di Klang Sentral, Klang, Selangor.

Saravanan telah meninjau dan memeriksa rumah contoh yang akan dibina. Penginapan pekerja ini dijangka siap dalam masa 6 bulan serta mampu menampung sehingga 10 ribu pekerja yang mana sebuah bilik memiliki kemudahan 3 katil bertingkat dan almari berkunci untuk 6 orang pekerja.

Golongan majikan diwajibkan mematuhi syarat Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dengan menyediakan penginapan yang selesa kepada pekerja tidak kira warga asing atau tempatan demi menjaga kebajikan pekerja mereka.

Saravanan sebelum ini pernah memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi Akta tersebut, dengan mana-mana majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan mengikut spesifikasi boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000

https://www.thesentral.my/2021/03/05/penyediaan-penginapan-mengikut-undang-undang-mampu-meningkatkan-produktiviti-pekerja-menteri-sumber-manusia/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment