Mi-Voice MIC News

Tak usah meludah ke langit, perbalahan MIC-PAS bukan soal siapa jantan, siapa betina! – Pemuda MIC

KUALA LUMPUR, Dis 7: Ketegangan antara parti MIC dan PAS masih berterusan apabila Ketua Pemuda MIC Thinalan Rajagopalu mengecam rakan sejawatannya dari parti PAS Ir Haji Khairil Nizam Khirudin yang telah menyatakan bahawa tindakan parti MIC di dalam isu perobohan Kuil di negeri Kedah adalah bersifat populist, dan seolah-olah MIC menentang peraturan, perlembagaan dan undang-undang negara. Khairil telah turut menyatakan bahawa Presiden MIC terlajar celupar dan mencabar jika Presiden MIC anak jantan dan bermaruah.


“Anda bukanlah merupakan individu yang tepat menuding jari dengan soalan sebegini terhadap Presiden Parti MIC yang berkredibiliti dalam usaha memurnikan penyelesaian isu ini. Saya ingin menyoal rakan sejawatan saya dari parti PAS jika beliau telah ataupun akan mendapatkan penjelasan Menteri Besar Negeri Kedah Mohammad Sanusi Mohd Nor berkenaan kenyatan-kenyataan yang terlanjur celupar dan tidak beradab langsung?,” soal Thinalan.

“Jangan lupa, perbalahan dan ketegangan yang wujud di antara MIC dan PAS pada hari ini adalah akibat sidang-sidang media dan kenyataan-kenyataan mencari publisiti murahan serta mengejar populariti murahan oleh MB Kedah, termasuk gesaan mengharamkan parti MIC serta analogi todi dan mabuk yang ditujukan kepada masyarakat India,” katanya lagi.

Tambah Thinalan, dengan sejarah MIC sejak 74 tahun penubuhannya serta pengalaman 65 tahun sebagai anggota kerajaan dan pembangkang, MIC bukannya tidak arif ataupun tidak menghormati perlembagaan dan undang-undang negara.

“Tak usah mempersoalkan kesetiaan kami kepada negara, kepatuhan kami kepada perlembagaan serta semangat patriotisme kami terhadap tanahair tercinta! Isu pokok adalah pendekatan melulu MB Kedah di dalam isu perobohan kuil, tanpa pendekatan holistik yang rasional.  Isu-isu berunsur keagamaan dan perkauman perlu didekati secara sensitif demi kelangsungan keharmonian masyarakat majmuk yang kita kecapi selama ini. Ianya boleh dicapai melalui kompromi dan konsensus, berlandaskan lunas undang-undang jika benar-benar diilhamkan oleh sesebuah kepimpinan kerajaan yang berwibawa.”

“Apabila tindakan MB Kedah tanpa sebarang konsultasi dipersoalkan, MIC dilabel sebagai ekstremis dan diminta diharamkan. Ditambah pula anologi todi dan mabuk yang ditujukan kepada pemimpin dan masyarakat India. Di manakah budaya politik matang dan sejahtera yang dijunjung parti PAS apabila seorang pemimpin kanannya sendiri begitu celupar, tidak sensitif dan berpersepsi mengjengkelkan?”

“Dan kini pula datangnya cabaran jika Tan Sri SA Vigneswaran seorang anak jantan dan bermaruah oleh sayap Pemuda PAS. Kami terkenang kesederhanaan, kesantunan dan kewibawaan allayarham Tok Guru Nik Aziz, tokoh PAS yang disanjungi rakyat berbilang kaum. Adakah PAS makin ekstrem dengan kuasa politik yang makin besar di tangannya?” soal Thinalan lagi.

“Isu kini bukannya soal keberanian, atau soal jantan atau betina. Tak usah meludah ke langit, ianya akan menimpa muka sendiri! Nasihatilah MB Kedah yang anda sanjungi agar beradab, rasional dan mengamalkan konsep konsultasi serta konsensus di dalam pentadbirannya. Bukannya mengejar kemasyhuran murahan bagi mengangkat dirinya di dalam arena politik.”

“Sudah seminggu berlalu, saudara mendiamkan diri dan baru tiba muncul dengan kenyataan berunsur mencabar Presiden Parti. Adakah ini merupakan medan perjuangan berbalas kenyataan dengan membangkitkan unsur keagamaan dan sensitif sebegini,” kata Thinalan.

“Sebagai ketua pemuda PAS kebangsaan, anda seharusnya menjadi sebagai pendamai persefahaman diantara kedua-dua pihak yang bertikam lidah dengan kenyataan media, tetapi sebagai seorang Ketua Pemuda Kebangsaan yang bergelar “ IR” yang berpengalaman dunia politik dan berprofesional anda boleh berkongsi pandangan dengan MB Kedah merangka penyelesaian dan lebih peka mencari jalan pendamaian dan penyelesaian yang cemerlang bukan mencabar dengan kajian isu anak jantan dan bermaruah? Sungguh memalukan!” ulas Thinalan lagi.

“Presiden Parti MIC tidak perlu memberikan maklum balas kepada seorang Ketua Pemuda Sayap seperti anda, Jawapan saya sudah cukup memadai membalas kenyataan yang tidak berasas dan terbuka sebegini. Saya mengamalkan sifat rundingan terbuka dalam usaha mencari peluang penyelesaian yang mantap. Kami menyeru MB Kedah meminta maaf kepada pucuk pimpinan MIC dan mengadakan perbincangan segera untuk mengelakkan perobohan rumah ibadat di masa akan datang.”

“Usaha perlu dibuat demi mengekalkan hubungan silaturahim diantara PAS dan MIC. Satu konsensus perlu dicapai untuk memelihara dan menghormati perkara-perkara melibatkan rumah ibadat yang wujud di tanah kerajaan dan memelihara persefahaman diantara masyarakat majmuk di negara ini.”

“Tok Guru Hadi Awang pernah berkata, sebarang masalah isu berkaitan dengan keagamaan dan tempat ibadah kerajaan PAS pusat senantiasa melapang minda menerima pandangan dan memberikan jalan penyelesaian yang matang berprofesional. Di samping menyalahi syariat Islam, tindakan merosakkan rumah ibadah agama lain serta sembahan mereka boleh menimbulkan ketegangan yang merugikan kedua-dua pihak pada masa akan datang. Kami menzahirkan rasa sedih dan kecewa kerana nilai yang diamalkan oleh MB Kedah jelas menunjukkan tidak akur akan larangan ke atas umat islam untuk meroboh dan merosakkan binaan rumah ibadat penganut agama lain sesuka hati.”

“Presiden Parti jelas telah melancarkan dan membawa pendekatan merancang rangka tindakan (BluePrint) mencari satu jalan penyelesaian komprehensif dan proaktif diwujudkan tanpa mengira negeri terbabit ditadbir oleh pembangkang atau kerajaan memerintah dalam usaha  menghasilkan garis panduan yang standard yang boleh diguna pakai melepasi rintangan dan krisis tidak menentu seperti kini.”

“Dijangka Pemimpin Parti PAS turut akan menyertai perjumpaan perangkaan penyelesaian jangka masa panjang hasil usaha inisiatif Presiden Parti MIC. Hentikan mengeluarkan kenyataan yang kurang matang sebegini dan memberikan sokongan kepada usaha penyelesaian dan pendamaian yang khusus demi nilai setia kawan yang terjalin selama ini,” nasihat Thinalan kepada Khairil. – The Sentral

Tak usah meludah ke langit, perbalahan MIC-PAS bukan soal siapa jantan, siapa betina! – Pemuda MIC