Mi-Voice MIC News

3.3 juta pekerja swasta dapat manfaat melalui Program Subsidi Upah PRIHATIN – Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Mac 29 – Kementerian Sumber Manusia, melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melaksanakan inisiatif baru kepada pekerja swasta di negara ini melalui majikan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020.

“Sebanyak RM5.9 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO bagi melaksanakan Program Subsidi Upah yang akan memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja swasta di negara ini,” kata Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia melalui kenyataan rasmi kementerian.

Melalui inisiatif baru ini, majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020 boleh membuat tuntutan kepada PERKESO sebanyak RM600 bagi tempoh 3 bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, yang berdaftar dan mencarum dengan SIP. Syarat kelayakan untuk bantuan subsidi di bawah program ini adalah majikan tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji dan mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh 3 bulan selepas program ini dilaksanakan.

Bayaran subsidi upah ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun majikan dalam tempoh 7 hari daripada tarikh permohonan termasuk proses kelulusan. Permohonan boleh dikemukakan oleh majikan melalui laman sesawang www.perkeso.gov.my

Selain daripada meringankan beban yang dialami pekerja di waktu yang sukar ini, inisiatif baharu ini akan membantu majikan untuk mengekalkan pekerja sedia ada tanpa perlu memberhentikan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.

Menurut Datuk Seri M. Saravanan, Program Subsidi Upah ini akan berkuatkuasa mulai 1 April 2020 dan ianya adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program, ERP) yang telah diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 16 Mac lalu.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Dato’ Mohd Sahar bin Darusman – Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan di talian 019-3237000 atau emel sahar.darusman@perkeso.gov.my atau Dr. Ponniah Raman di talian 012-6050523 atau r.ponniah@perkeso.gov.my.

https://www.thesentral.my/2020/03/29/3-3-juta-pekerja-swasta-dapat-manfaat-melalui-program-subsidi-upah-prihatin-menteri-sumber-manusia/