PRK TG PIAI | Presiden MIC, SA Vigneswaran berpendapat Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan medan ujian kepada Umno-PAS dalam menarik sokongan pengundi Melayu.
Katanya, PRK itu bukan sahaja bakal menjadi ujian kepada MCA untuk menawan sokongan pengundi Cina, malah penting kepada Muafakat Nasional.
“Sama ada permuafakatan Umno-PAS berkesan atau tidak, PRK ini menjadi ukuran siapa yang menguasai pengundi Melayu, Umno-PAS atau PH,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang kemenangan BN di PRK Tanjung Piai.
PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42 meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.
Penamaan calon diadakan semalam menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon PH, BN, Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.
Ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini akan dicabar Ketua MCA bahagian itu yang juga bekas anggota parlimen kawasan itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng.
Gerakan diwakili timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh presidennya Dr Badrulhisham Abdul Aziz. Dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.
Yakin Berjasa tak jejaskan BN
Dalam pada itu Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara yakin penglibatan Berjasa tidak akan menjejaskan peluang kemenangan BN di Tanjung Piai.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan berkata parti itu tidak merestui tindakan Berjasa, yang merupakan salah satu parti dalam Gagasan Sejahtera bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.
“Saya sangsi kalau Berjasa berjaya dapat 100 undi. Sedangkan PAS sendiri menolak Berjasa,” tambah Vigneswaran.
Vigneswaran juga berkata MIC akan menggunakan strategi ‘bercakap benar’ pada PRK berkenaan bagi menawan kembali hati pengundi India.
“Rakyat sudah mendapat pengajaran yang penting di bawah pemerintahan PH selama satu setengah tahun,” katanya mendakwa masyarakat India kini semakin dipinggirkan di bawah kerajaan PH.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan PH tidak mengadakan sambutan Deepavali peringkat kebangsaan.
“Setahu saya kerajaan (persekutuan) tidak membuat sambutan (majlis rumah terbuka). Jadi, kami buat (sambutan Deepavali) walaupun kami masih pembangkang,” katanya.
Tambahnya, beliau berasa teruja kerana dianggar lebih 7,000 hadir ke rumah terbuka tersebut hari ini walaupun sasaran hanya sekitar 5,000 orang sahaja.
“Sambutan hari ini memberangsangkan. Harap selepas PRU15, MIC kembali sebagai kerajaan dan akan meneruskan sambutan perayaan Deepavali,” ujarnya.
Nov 3, 2019 (Dikemaskini Nov 3, 2019) B Nantha Kumar (malaysiakini)