KUALA LUMPUR: Wanita MIC akan mengadakan program pemukiman dengan semua ketua dan timbalan ketua sayap itu di peringkat bahagian bagi membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bercakap selepas Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi Wanita MIC Kebangsaan Sesi 2021-2024 di sini, hari ini, Ketuanya, Datuk Mohana Muniandy, berkata program itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membuat persiapan menghadapi PRU di peringkat akar umbi.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasar untuk mencapai 5,000 keahlian Briged Wanita MIC menjelang Februari depan yang antara lain akan menjadi platform parti itu mendekati golongan wanita muda untuk menjalankan kerja-kerja sukarela dan kebajikan.
Mohana berkata, sejak briged berkenaan dilancarkan Disember lalu, keahlian Briged Wanita MIC sudah mencecah 1,500 orang.
“Melalui Briged Wanita MIC ini, kita telah bantu kira-kira 10,000 keluarga ketika negara dilanda banjir baru-baru ini, terutamanya di Taman Sri Muda, Hulu Langat dan Dengkil di Selangor, selain Karak dan Temerloh di Pahang.
“Jadi hasrat Briged Wanita MIC untuk jemput dan beri peluang kepada wanita muda untuk jadikan platform ini untuk bersama dan beri pertolongan, sekali gus bekerjasama dengan ahli politik,” katanya. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/amp/berita/politik/2022/01/912270/wanita-mic-bincang-persiapan-hadapi-pru
Add Comment