Mi-Voice MIC News

SOP tahanan polis perlu diperhalusi, siasatan kes kematian A. Ganapathy harus segera dan telus, saran Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Apr 29: Naib Presiden MIC Kebangsaan, Dato’ T. Murugiah hari ini menyaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar memperhalusi tatacara standard (SOP) penahanan suspek, di samping menjalankan siasatan yang segera dan telus di dalam kes kematian A. Ganapathy yang menimbulkan pelbagai persoalan serta kemarahan orang ramai terhadap pihak polis.

“Setakat ini tiada sebarang pencerahan yang jelas dari KDN mahupun PDRM berkenaan apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes Ganapathy. Saya memahami dan amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung oleh keluarga A. Ganapathy. Kebenaran perlulah ditegakkan, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.”

“Kes kematian suspek semasa dan selepas di bawah tahanan bukan sahaja mencemarkan imej pihak PDRM, malah menimbulkan persoalan terhadap integriti PDRM. Ini bukanlah kes yang pertama sedemikian. Adakah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membisu di dalam perkara ini?” soal Murugiah di dalam kenyataan media beliau.

A. Ganapathy telah ditahan polis pada 24 Februari lepas bagi membantu siasatan terhadap seorang adiknya. Setelah 12 hari di bawah tahanan pihak polis, Ganapathy dibebaskan pada 8 Mac dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang, di mana kakinya dengan kesan pukulan yang teruk dipotong sebelum dia meninggal dunia pada 20 April 2021.

Menurut keluarga mangsa, Ganapathy dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung. Namun, selepas dua hari ditahan polis, polis menelefon keluarga mangsa untuk datang membawa ubat diabetes dan sakit jantung, tetapi mereka tidak dibenarkan berjumpa Ganapathy.

Pada 8 Mac lalu, ahli keluarga mendiang menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan bahawa Ganapathy telah dibebaskan dan dimasukkan di ICU Hospital Selayang. Ganapathy dikatakan memberitahu keluarganya ketika dalam tahanan dia dipukul oleh polis dengan paip getah. Kaki mendiang bengkak dan lebam seperti kesan dipukul dan terpaksa dipotong sebelum dia meninggal dunia.

“Imej pihak polis jelas tercalar dan tercemar di dalam kes ini. Saya masih teringat kes A. Kugan yang mati di dalam tahanan polis pada tahun 2009. Sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, saya berusaha mendapatkan keadilan bagi pihak keluarga Kugan. Perbicaraan membuktikan salahlaku anggota polis terbabit dan hakim memerintahkan ganti rugi RM851,700 dibayar kepada ibunya Indra bagi ganti rugi serangan dan memukul, penjara palsu, misfeasans, kesakitan dan penderitaan.”

“Kes Ganapathy bagai replika apa yang berlaku 12 tahun yang lepas. Apakah pihak PDRM tiada SOP standard di dalam prosedur penahanan suspek? Kenapakah rawatan perubatan bagi Ganapathy dinafikan atau dilewatkan? Adakah proses pengambilan keterangan dilakukan secara paksaan dan deraan? Adakah bukti CCTV yang merekodkan apay yang berlaku sebenarnya? Semua persoalan ini harus dijawab oleh pihak PDRM dan KDN.”

“KDN dan PDRM harus memperhalusi SOP sedia ada dalam proses dan prosedur penahanan suspek. Mana-mana suspek adalah tidak bersalah sehingga kesalahannya dibuktikan, dan kaedah pemerasan dan penderaan tidak patut digunapakai sama sekali oleh pihak polis.”

“Saya harap siasatan kes Ganapathy disegerakan dan dijalankan secara telus, mereka yang bertanggungjawab harus menerima hukuman yang sewajarnya. Kuasa polis adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pematuhan undang-undang, bukannya bagi disalahgunakan,” tegas Murugiah.

https://www.thesentral.my/2021/04/29/sop-tahanan-polis-perlu-diperhalusi-siasatan-kes-kematian-a-ganapathy-harus-segera-dan-telus-saran-naib-presiden-mic/https://www.thesentral.my/2021/04/29/sop-tahanan-polis-perlu-diperhalusi-siasatan-kes-kematian-a-ganapathy-harus-segera-dan-telus-saran-naib-presiden-mic/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment