Mi-Voice MIC News

Kerusi Sg Siput: Jangan keruhkan lagi keadaan – Veeran

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sungai Siput, Norazura Abdul Karim yang meminta MIC memberi laluan kepada UMNO bertanding di kerusi Parlimen itu sebenarnya tidak lebih daripada mengeruhkan keadaan politik hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC), Veeran Muniandy berkata, sekarang bukan masanya untuk bercakap tentang perkara ini, yang akhirnya akan mencetuskan ‘perang mulut’ serta konflik tidak diingini.

“Sudahlah keadaan politik semasa tidak begitu ‘stabil’ dan samar-samar, tiba-tiba datang pula Puteri UMNO Sungai Siput minta beri laluan bagi kerusi yang selama ini menjadi kerusi tradisi MIC.

“Adakah ini kena dengan caranya? Adakah UMNO sudah lupa dengan pengorbanan MIC yang masih mempunyai dasar setia kawan kuat ketika ramai bertindak meninggalkan parti itu ketika kalah dahulu?

“Saya rasa kenyataan seumpama ini walaupun dianggap pandangan peribadi, ianya tidak adil lagi-lagi ketika waktu ini. Bukankah pandangan seperti ini akhirnya merugikan kerana kita bergaduh sesama sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Veeran berkata, adakah UMNO akan berdiam diri jika MIC meminta kerusi yang telah kalah dengan alasan sudah tidak ada sokongan.

Beliau meminta jangan ada pihak yang mengeruhkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi.

Semalam Norazura berkata, sudah sampai masanya untuk MIC memberi laluan kepada partinya untuk bertanding di kerusi Parlimen mereka susulan kegagalan MIC merampas Sungai Siput sejak tiga Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut.

Dalam pada itu, kata Veeran yang juga Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping berkata, di bawah Presiden Tan Sri SA Vigneswaran pelbagai usaha, inisiatif serta sumbangan sedang dilakukan bagi meraih sokongan serta memberi pemahamaan tentang apa dilakukan oleh MIC selama ini.

“Tan Sri telah memberi arahan supaya kami terus mendekati masyarakat India, juga yang lain-lain, turun padang dan berterusan menaburkan jasa bakti.

“Dengan keadaan pandemik ketika ini, beliau turut memberi arahan supaya kami kurang berpolitik dan retorik, sebaliknya ‘all out’ bukan sahaja untuk menang undi pada PRU kelak tetapi turun membantu rakyat yang sedang menderita saat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/03/31/kerusi-sg-siput-jangan-keruhkan-lagi-keadaan-veeran/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment