- Saya merujuk kepada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor yang kononnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) MIC tidak menyokong Pas, malah kebanyakan ahli parti MIC menyokong Pakatan Harapan (PH).
- Menteri Besar ini selama dua tahun berada di Malaysia atau di planet Marikh? Boleh jadi Muhammad Sanusi sibuk mencari rare earth elements (REE) bernilai RM43 trilion di planet Marikh sehingga tidak tahu landskap politik di negara kita pada masa itu.
- Ingin saya memberi sedikit peringatan kepada Menteri Besar Kedah. Pada PRU–14, Pas bukan merupakan parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN) malah Pas juga telah bertanding di kerusi-kerusi BN, jadi bagaimana pula MIC boleh menyokong Pas pada PRU–14 sedangkan Pas pada ketika itu bertanding menentang BN?
- Ingin saya tekankan bahawa MIC tidak mempunyai masalah dengan Pas tetapi mempunyai masalah dengan sikap sombong, bongkak dan tidak beradab Menteri Besar Kedah dalam beberapa isu melibatkan kaum India di negeri tersebut.
- Sebagai contoh, Ketika Pas menjadi kerajaan negeri di Terengganu, Kelantan dan sebelum ini di Kedah ketika zaman Tan Sri Azizan, masyarakat India tidak mempunyai masalah dan tidak ada sebarang rungutan terhadap kerajaan Pas.
- Saya akui, kadang–kala terdapat perbezaaan pendapat antara masyarakat dengan pimpinan kerajaan negeri, namun selalunya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua–dua pihak. Malangnya, di zaman Muhammad Sanusi menjadi Menteri Besar, terdapat kes-kes masyarakat minoriti di Kedah terutama masyarakat India dibuli dan dihina oleh beliau.
- Secara jelas ini membuktikan bahawa di dalam DNA Menteri Besar Kedah sahaja yang mempunyai masalah dengan kaum–kaum minoriti, terutamanya masyarakat India. Tindakan beliau ini jauh menyimpang daripada ajaran Tuan Guru Nik Aziz yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi di antara kaum dan agama.
- Saya ingin mengingatkan Menteri Besar Kedah, pada 29 Mac 2019 ketika Pas masih lagi sebahagian blok pembangkang bersama BN, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu pejabat MIC. Abdul Hadi berkata, beliau amat berbesar hati apabila disambut penuh kemesraan oleh Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran serta kepemimpinan tertinggi parti yang lain.
- Malah, Presiden PAS menghargai keterbukaan yang ditunjukkan oleh Presiden MIC dan berharap agar hubungan ini dapat dieratkan dengan kerjasama yang berterusan demi kebaikan serta keharmonian semua kaum dalam negara. Selain itu, Presiden Pas juga telah mempunyai dialog dengan Persatuan Malaysia Hingu Sangam pada 15 September 2020 dan turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan perjumpaan berkenaan satu usaha yang baik untuk perpaduan.
- Sikap mulia Presiden Pas ketika itu telah membuka peluang kerjasama antara Pas dan MIC di mana MIC percaya bahawa Pas akan mempertahankan hak–hak kaum minoriti di negara ini. Malangnya, kerjasama antara MIC dan Pas seperti yang diharapkan oleh Presiden Pas kini disabotaj dan dimusnahkan oleh Menteri Besar Kedah.
- Menteri Besar Kedah harus ingat bahawa barisan kepimpinan Pas pusat kini sedang sedaya upaya untuk menonjolkan Pas sebagai sebuah parti yang inklusif serta cuba menarik sokongan rakyat berbilang kaum dan agama seluruh negara. Tetapi sikap Muhammad Sanusi suka membuli di Kedah ini menghantar signal yang negatif tentang Pas kepada masyarakat minoriti di seluruh negara.
- Segala usaha yang dilakukan oleh Presiden Pas untuk memberi gambaran bahawa Pas adalah parti yang menghormati hak–hak kaum minoriti telah musnah akibat tindakan Muhammad Sanusi. Muhammad Sanusi telah menanam benih ketakutan di dalam pemikiran semua kaum minoriti di negara ini serta membangkitkan persoalan apa akan jadi kepada masa depan kaum-kaum minoriti jika Pas berkuasa penuh di peringkat Persekutuan.
- Akhir sekali, Muhammad Sanusi, anda harus faham bahawa satu perkara mengenai rakyat Malaysia ialah kita selalu menantikan hari cuti awam. Kerana ingin membalas dendam terhadap kaum India, anda telah membatalkan cuti Thaipusam dengan memikirkan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh enam peratus orang India di Kedah. Namun demikian, bukan enam peratus ini yang harus anda risaukan tetapi baki 94 peratus penduduk Kedah yang cuti am mereka baru sahaja anda batalkan.
Terima kasih
Senator Datuk Sri S. Vell Paari
MB Kedah jangan jadi ‘katak bawah tempurung’
Add Comment