Mi-Voice MIC News

Kepimpinan Pas, tolonglah ‘sekolahkan’ MB Kedah – Saravanan

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang cuba mengalihkan perhatian umum dengan menuding jari kepada MIC selepas pelbagai kritikan terhadapnya langsung tidak mengejutkan.

Malah tindakan membatalkan cuti umum sambutan Thaipusam di negeri itu yang kini mendapat kritikan akhirnya memakan dirinya sendiri sehingga menyebabkan Muhammad Sanusi terpaksa mencari ‘alternatif’ menyalahkan pihak lain terutamanya MIC.

Itu dakwaan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang merasakan Muhammad Sanusi semakin terpesong dan terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan berhubung pembatalan cuti umum Thaipusam di negeri Kedah.

“Saya memang tidak faham mengapa ada Menteri Besar seperti ini? Saya mohon pimpinan Pas untuk tolong ajar beliau terlebih dahulu menghormati sentimen serta sensitiviti agama masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Isu berhubung tiada cuti umum Thaipusam di Kedah sebenarnya telah menyebabkan umum khasnya masyarakat Hindu di negeri itu kecewa, terkilan sebenarnya.

“Kami di MIC pula untuk pengetahuan YB Menteri tidaklah menggunakan isu ini sebagai alat untuk agenda politik kami seperti dakwaan anda, soalnya kini siapa yang main politik di sini?

“Bukankah anda yang sedang bermain politik, mainkan sentimen seperti ini untuk tujuan menaikkan imej anda? Janganlah guna agama, kepercayaan atau kaum, itu hanya akan memporak-perandakan kita semua.

“Cadangan anda kononnya jika MIC mahu cuti umum minta ianya daripada kerajaan Persekutuan supaya dapat digazetkan adalah sesuatu yang tidak masuk akal bukan dalam masa begini singkat, tolonglah hentikan permainan politik kotor seperti ini,” katanya hari ini.

Kepimpinan Pas, tolonglah ‘sekolahkan’ MB Kedah – Saravanan

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment