Mi-Voice MIC News

Tindakan MB Kedah pecah belah keharmonian – Gunalan

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, tindak tanduk serta kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyebabkan persengketaan kaum.

Malah ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19, pembatalan cuti umum perayaan Thaipusam yang cukup bermakna buat penganutnya oleh kerajaan negeri sesuatu tidak boleh diterima sama sekali.

Menurut Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan, pengumuman tersebut sebenarnya sudah menyebabkan warga Hindu di Kedah kecewa apatah lagi sikap Menteri Besar yang menjadikan masyarakat India sebagai sasaran sejak akhir-akhir ini.

“Adakah untuk sambutan dan perayaan lain yang mempunyai cuti umum akan Menteri Besar umum perkara yang sama kelak hanya kerana kini kita melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini?

“Sebelum ini juga ketika isu perobohan kuil di Kedah, segala macam kenyataan telah dikeluarkan tanpa memahami sensitiviti dan perasaan masyarakat India secara amnya.

“Kemudian isu cuti umum Thaipusam pula, masa itu juga apabila MIC menyoal lantang akhirnya beliau tuduh kami macam-macam, hari ini perkara sama diulang kembali olehnya.

“Sebenarnya kenyataan seperti ini tidak lebih daripada menyebabkan persengketaan, pergaduhan, ganggu gugat serta perasaan tidak harmoni antara semua kaum majmuk di negara ini.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila beliau adalah dalam kalangan pimpinan Pas yang juga bersama-sama MIC dalam kerajaan Persekutuan. Mengapa tidak boleh runding dan cakap elok-elok, mengapa perlu sehingga ke tahap ini” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi mengumumkan tidak akan ada cuti umum untuk Thaipusam di negeri Kedah pada tahun ini, kerana semua aktiviti pada perayaan tersebut telah dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun selepas ditegur Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan semalam tindakan kerajaan negeri itu tidak lebih daripada ‘keangkuhan’ semata-mata, Muhammad Sanusi pula mendakwa MIC sudah mula berjuang seperti DAP.

Gunalan turut menggesa pimpinan Pas untuk menegur Muhammad Sanusi daripada terus mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya sehingga mengeruhkan lagi keadaan selepas ini.- MalaysiaGazette

Tindakan MB Kedah pecah belah keharmonian – Gunalan