KUALA LUMPUR, Okt 29: Naib Presiden MIC Dato’ T Murugiah hari ini menggesa kerajaan agar mempertimbangkan kebenaran bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan caruman mereka pada kadar terhad 10% dari jumlah simpanan akaun 1 mereka bagi menampung tekanan dan kekangan ekonomi yang makin terasa berikutan impak penularan wabak Covid-19.
“Tatkala negara kini berhadapan cabaran gelombang ketiga penularan wabak Covid-19, rakyat makin tertekan dari segi ekonomi berikutan impak yang wujud, termasuk kehilangan pekerjaan, rezeki perniagaan yang makin menurun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat yang menghadkan pergerakan, komitmen bulanan individu dan keluarga yang perlu dipenuhi dan sebagainya.”
“Memang tidak dinafikan inisiatif Bantuan Prihatin Negara (BPN) fasa 1 dan 2, pengeluaran i-Lestari dari akaun 2 KWSP, Geran Khas Prihatin, moratorium pinjaman, bantuan bersasar berdasarkan industri dan sebagainya dari Kerajaan Perikatan Nasional membantu meringankan bebanan kewangan rakyat. Tetapi, ianya tidak memadai kerana impak Covid-19 masih berleluasa dan makin serius.”
“Maka, saya berpendapat rakyat perlu diberi pilihan untuk mengeluarkan caruman akaun 1 KWSP mereka pada kadar terhad, saya cadangkan 10%. Caruman ini adalah titik peluh mereka sebagai simpanan hari tua selepas bersara. Namun, dengan keadaan genting kini, ianya adalah sumber terbaik bagi mereka menghadapi cabaran semasa,” kata Murugiah.
Sebelum ini, mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak turut mencadangkan agar pencarum dibenarkan membuat pengeluaran ad-hoc sehingga RM 10,000 dari akaun 1 KWSP mereka, bagi mereka yang benar-benar terdesak dan terkesan.
“Saya senada dengan Dato’ Seri Najib, tak payah membuat pengeluaran jika tiada keperluan mendesak. Had pengeluaran maksimum 10% yang dicadangkan adalah kerana impak yang melanda rakyat bukan terhad kepada golongan B40 mahupun M40, malah golongan T20 sekali. Kadar impak adalah seiiring dan sejajar dengan kuantum pendapatan mereka yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19.”
“Apa gunanya caruman simpanan hasil titik peluh sendiri tidak berguna pada saat-saat kritikal sebegini? Pencarum semestinya mempunyai keinsafan diri di dalam menggunakan wang pengeluaran tersebut demi meringankan bebanan hidup, memastikan kelangsungan pengurusan ekonomi keluarga mereka, dan bukannya bagi tujuan lain. Semoga kerajaan dan KWSP mempertimbangkan cadangan ini yang makin dihasratkan rakyat,” kata Murugiah lagi.
Rakyat makin tertekan, benarkan pengeluaran terhad akaun 1 KWSP, Naib Presiden MIC gesa Kerajaan
Add Comment