MIC Youth

Tindakan ADUN Tanah Rata memperkecilkan isu penghinaan Jata Negara sungguh mengecewakan

Kenyataan Media Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan

Saya berasa amat kecewa dan terguris hati dengan sikap sesetengah pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan yang masih mempertahankan pihak yang terlibat di dalam penerbitan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ dengan gambar muka hadapannya jelas merupakan lambang Jata Negara yang diubahsuai dan bagai mencabar simbol kedaulatan negara.

Mereka menyamakannya sebagai ekspresi seni, menganggap ianya perkara remeh yang dipolitikkan, malah melabel semua yang mengkritiknya sebagai membendung kebebasan artistik dan kebebasan bersuara.

Sungguh cetek pemikiran mereka, ke manakah hilangnya semangat patriotik dan cinta mereka kepada tanahair? Lebih parah, Ahli Dewan Undangan Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang merupakan anggota dewan perundangan Negeri Pahang tampil mempertahankan penulis dan penerbit terbabit, menyatakan bahawa tindakan kerajaan Perikatan Nasional menyiasat isu tersebut sebagai usaha menyekat kreativiti minda artistik.

Beliau turut mengkritik tindakan pemuda Barisan Nasional yang membuat laporan polis sebagai usaha mempolitikkan isu tersebut demi meraih dan memanipulasi sentimen rakyat.

Kreativiti minda dan artistik perlulah ada batasannya. Bukannya dengan menghina identiti keluhuran dan kedaulatan negara. Apakah Adun Tanah Rata ini cetek pemahamannya sehingga tidak sedar dan tidak mengaku bahawa kreativiti penerbit buku tersebut bagai mencabul simbol martabat negara?

Semuanya politik bagi DAP dan Pakatan Harapan! Ini adalah soal kesetiaan dan penghormatan kepada negara. Chiong perlu ingat, rakyat sudah pun muak dengan agenda politik DAP dan Pakatan Harapan, dan kami pemuda BN tiada motif politik di dalam menggesa tindakan undang-undang di dalam perkara ini. Ianya tanggungjawab kami sebagai anak Malaysia.

Saya menyaran pengundi Tanah Rata menilai sendiri wakil rakyat mereka yang lebih cenderung mempertahankan kreativiti minda yang menghina institusi negara daripada berkhidmat kepada penduduk kawasan yang menaruh harapan beliau akan menyantuni keperluan mereka. Tolaklah pemimpin yang tidak sensitif terhadap keperluan, harapan dan aspirasi rakyat sebegini.

https://www.thesentral.my/2020/07/01/tindakan-adun-tanah-rata-memperkecilkan-isu-penghinaan-jata-negara-sungguh-mengecewakan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment