KUALA LUMPUR – Sejak pagi tadi kecoh dalam laman sosial tentang satu pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengharaman menyertai sambutan Pesta Ponggal bagi umat Islam.
Pesta Ponggal atau pesta menuai itu disambut oleh masyarakat India di negara ini sebagai tanda kesyukuran ke atas rezeki yang dilimpahkan dan berdoa untuk mendapat rezeki yang lebih baik tahun berikutnya.
Walaupun pesta ini disambut dengan penuh berwarna warni oleh petani di India, namun ia turut diamal di negara ini sejak sekian lama, malah ia turut disertai oleh kaum lain selama ini.
Bagaimanapun, masyarakat India melahirkan rasa terkejut dengan pekeliling yang dianggap sungguh pelik yang diedarkan kepada semua Pengarah Pendidikan yang menggariskan ‘Hukum Muslim Menyertai Pesta Pongal atau masak nasi susu’.
Menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan kepada MalaysiaGazette, beliau sudah hilang kata-kata malah langsung tidak percaya perkara seumpama itu berlaku.
Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah, hakikatnya pesta Pongal ini adalah sambutan menuai yang diraikan oleh Hindu, Muslim dan juga Kristian di India.
“Ini bukan satu acara keagamaan, sebaliknya seperti sambutan perayaan. Pongal juga sinonim dengan Pesta Gawai di Sarawak. Kita ucapkan tanda syukur, raikan hasil pertanian dengan harapan tuaian lebih baik pada tahun berikutnya. Itu sahaja. Malah selama ini, ianya begitu.
“Yang saya tidak faham, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh Menteri-Menteri India juga Timbalan Menteri yang sebenarnya gagal dalam mendidik Menteri Pendidikan untuk memahami apakah itu pesta Pongal?
“Adakah Menteri kaum India Pakatan Harapan yang selama ini dijaja sebagai suara masyarakat India di negara sebenarnya menjalankan tugas mereka?
“Jika benar, tidak adalah pekeliling seperti itu diedarkan. Saya rasa kelakar juga kerana ini adalah kali pertama, hanya dengan kerajaan ini kita terpaksa melalui macam-macam isu berkait dengan perpaduan serta berbilang kaum walhal mereka juga katanya jaguh dalam menyatukan masyarakat majmuk,” katanya sebentar tadi.
Surat pekeliling KPM itu turut menyatakan ia merupakan keputusan mesyuarat panel Pakar Syariah (PPS) Jakim.
Jakim turut menggariskan beberapa syarat seandaiya orang Muslim terpaksa hadir Pesta Pongal berkenaan.
Kata Saravanan, seandainya perkara ini tidak dijelaskan dengan betul mungkin selepas ini Pesta Gawai atau Keamatan juga akan diharamkan kelak.
Pesta Pongal disambut setiap tahun pada hari pertama bulan ‘Thai’ mengikut kalendar Tamil sebagai tanda penghargaan bagi kehidupan rezeki melimpah ruah bagi tahun berikutnya akan di sambut esok.
Ia disambut selama tiga hari secara berbeza iaitu pada hari pertama -‘Thai Ponggal’- diraikan bersama anggota keluarga dengan berkumpul di sekeliling periuk tanah untuk menyaksikan susu yang dimasak melimpah daripada periuk yang digunakan.
Limpahan susu melambangkan kebaikan dan kekayaan untuk seluruh keluarga.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengucapkan Selamat Hari Pongal berkata, pesta itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk memahami dengan lebih dekat keunikan budaya rakan-rakan dan jiran mereka yang menyambut perayaan tersebut. – MalaysiaGazette
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/01/14/mana-perginya-semua-menteri-india-dalam-isu-pongal-saravanan/