KUALA TERLA, Dis 23: MIC Negeri Pahang hari ini membuat keputusan drastik dengan kesemua 11 orang Ahli Majlis Berkuasa Tempatan serta Pegawai Khas Menteri Besar meletakkan jawatan berikutan keengganan Kerajaan Negeri Pahang membela nasib 60 pekebun di Kuala Terla, Cameron Highlands.
“Rintihan dan rayuan kami sehingga saat terakhir sebelum operasi pengosongan dan pembersihan kawasan pertanian terbabit dijalankan pagi tadi langsung tidak diendahkan oleh Kerajaan Negeri. Ternyata kami gagal di dalam melaksanakan tanggungjawab kami membela nasib masyarakat yang kami wakili,” kata V. Arumugam, Pengerusi MIC Negeri Pahang yang juga merupakan Pegawai Khas Menteri Besar.
“Walaupun merupakan komponen utama BN dan Negeri Pahang juga di bawah Kerajaan BN, suara MIC bagai tiada nilai langsung. Ini adalah satu penghinaan terhadap kami, terhadap kerjasama dan sokongan kami terhadap BN selama ini,” tambah Arumugam lagi.
“Apa gunanya menjawat jawatan Kerajaan negeri dan majlis berkuasa tempatan jika sekadar memanaskan kerusi. Cukuplah, secara sebulat suara MIC Negeri Pahang membuat pendirian berundur dari segala jawatan tersebut. Keputusan ini telah kami maklumkan kepada Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.”
Untuk rekod, operasi pengosongan dan pembersihan kawasan pertanian 60 orang pekebun Cameron Highlands telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan bantuan pihak polis dan FRU. Berlaku beberapa tangkapan polis ke atas pemimpin MIC yang cuba menghentikan operasi tersebut. Operasi dimulakan kurang 24 jam MIC Negeri Pahang menzahirkan campur tangan MB Pahang bagi menangguhkan operasi tersebut dan menawarkan kawasan pertanian baru bagi relokasi pekebun tersebut.
“Pekebun tersebut menjunjung kasih titah Yang Di Pertuan Agong dan akur dengan arahan kerajaan negeri bagi pengosongan kawasan demi kelestarian Cameron Highlands. Mereka hanya meminta penawaran tanah alternatif bagi relokasi serta tempoh masa sewajarnya bagi pemindahan struktur serta infra dari kawasan tersebut. Adakah permintaan ini sukar dipenuhi kerajaan negeri setelah lebih tiga generasi pekebun terbabit mengusahakan bidang pertanian?”
“Harapan kami berkecai apabila MB Pahang mahupun Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor langsung tidak menghiraukan nasib keluarga pekebun terbabit yang sudah pasti runtuh sama sekali dengan tindakan yang diambil. Keyakinan dan perjuangan kami diperkecilkan, kami sungguh hampa!” ujar Arumugam lagi.
“Kami akan lebih lantang memperjuangkan bukan sahaja nasib pekebun terbabit, malah apa jua isu masyarakat India di seluruh Negeri Pahang kerana tidak lagi terkongkong dengan jawatan hiasan. MIC akan kekal berjuang sebagai suara dan pembela nasib masyarakat,” tegas Arumugam. – The Sentral
Sumber: https://thesentral.com/gagal-bela-nasib-pekebun-cameron-highlands-wakil-mic-negeri-pahang-bertindak-letak-jawatan-pbt-dan-negeri/
Add Comment