MIC News

Dana MITRA, di mana ketelusan dan transparensi yang diwar-warkan, soal Gunalan

KUALA LUMPUR, Dis 12: Jawatankuasa Penerangan MIC Kebangsaan hari ini menyaran Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di bawah Jabatan Perdana Menteri agar lebih telus di dalam pengagihan dana Kerajaan yang dimaksudkan bagi pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.

“Menjawab pertanyaan Naib Presiden MIC, Senator Datuk T. Mohan di Dewan Negara mengenai butiran pengagihan dana MITRA, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah menyatakan sejumlah RM 99,375,199.20 telah diagihkan dari jumlah RM 100 juta yang diperuntukkan. Senarai penerima dana turut dipaparkan di laman web MITRA. Yang menjadi persoalannnya, adakah semua penerima ini menepati garis panduan dan syarat yang ditetapkan?” soal V. Gunalan, Ketua Penerangan MIC Kebangsaan.

“MITRA di bawah Menteri bertanggungjawab P. Waythamoorthy jelas tidak mencerminkan transparensi dan ketelusan yang diwar-warkan oleh Pakatan Harapan sebelum PRU14. Tidaklah memeranjatkan, memandangkan keseluruhan jentera dan agensi kerajaan PH memang sedemikian. Bukan sahaja kami, pembangkang yang mempersoalkan MITRA, malah barisan kerajaan sendiri seperti Dr P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang turut mengutarakan kesangsian  berkenaan MITRA sebelum ini.”

“NGO dan syarikat swasta yang berdaftar kurang dari setahun diberi dana bagi menjalankan program. Apakah rasional di sebaliknya? Persatuan Pembangunan Masyarakat Sabai di mana penyelarasnya S. Balachandran  merupakan suami kepada ADUN Sabai  Puan  D. Kamache telah diluluskan dana RM 101,800  bagi menjalankan program akademik. Intellize Tech Services Sdn Bhd, syarikat swasta  yang baru didaftarkan pada 14.01.2019 pula telah diluluskan dana RM700,000.00.”

“Kredibiliti MITRA menjadi persoalan kerana Waythamoorthy sering melaungkan tidak wujud pengaruh politik di dalam pengurusan dana MITRA. Inikah transparensi yang dilaung-laungkan oleh Waythamoorthy dan  Kerajaan Pakatan Harapan?  Hebat sungguh prosedur pemilihan MITRA,” tambah Gunalan lagi.

Yayasan MyKasih

Yayasan MyKasih merupakan penerima dana terbesar MITRA, di mana ia diperuntukkan RM 9.8 juta, hamper 10% keseluruhan dana MITRA bagi menjalankan program bantuan makanan kepada 3,000 keluarga dan bantuan awal persekolahan bagi 13,000 pelajar sekolah Tamil yang akan melangkah ke sekolah menengah.

“Kenapa Yayasan MyKasih, sayap CSR di bawah syarikat gergasi petroleum Dialog Group perlu diperuntukkan dana kerajaan bagi menjalankan program, sedangkan Dialog Group sendiri mampu melaksanakannya? Apakah perincian program bantuan awal persekolahan menengah? Kenapa RM 5.6 juta perlu diberi sebagai bantuan makanan kepada masyarakat India, memandangkan barisan pemimpin kerajaan PH hari ini sendiri yang telah mengkritik MIC dan Kerajaan BN sebelum ini apabila bantuan sedemikian disalurkan? Bukankah lebih bermanfaat jika dana sebesar ini digunakan bagi memperkasakan masyarakat melalui program kemahiran atau keusahawanan?” soal Gunalan.

Individu sama, dua program

Gunalan turut mengutarakan kesangsian beliau jika MITRA benar-benar menilai kemampuan dan kapasiti penerima dana bagi menjalankan program.

“Wujud sebuah NGO, yang diluluskan dana RM 1.5juta bagi menjalankan dua program. Namun, mungkin bagi mengelakkan persoalan, program pertama disenaraikan di bawah Pertubuhan Athma Sakthi India Malaysia, manakala program kedua di bawah Indian Athma Sakthi Association. Kedua-duanya menjurus kepada NGO yang sama, individu yang sama. Adakah MITRA cuba memperbodohkan orang ramai dengan permainan bahasa ini?”

“Hanya 206 permohonan diluluskan dari 413 permohonan yang diterima. Adakah ketandusan program yang berkualiti sehingga sebuah NGO yang sama diluluskan dua peruntukan dana?” soal Gunalan.

Dana bagi HRDF

Satu lagi persoalan yang dibangkitkan adalah pengagihan dana RM 5 juta bagi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

“Apakah perlunya RM 5 juta diagihkan kepada HRDF, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia? Tiada dana atau peruntukan di bawah HRDF atau Kementerian Sumber Manusia bagi menjalankan program bagi masyarakat India? Apakah logiknya dana khas MITRA disalurkan kepada sebuah lagi agensi kerajaan yang wujud dengan mekanisme dana dan program sedia ada.”

Pastikan Ketelusan Agihan Dana

Gunalan turut menggesa MITRA agar memastikan ketelusan dan keberkesanan agihan dana serta program yang telah diluluskan tahun ini serta yang akan datang.

“Sudahlah masyarakat India makin dipinggirkan di bawah kerajaan PH, sekurang-kurangya pastikanlah dana MITRA benar-benar memanfaatkan masyarakat India. Walaupun penerima dana dan program tahun 2019 mengundang kontroversi, ianya tidak boleh diterbalikkan.”

“RM 100 juta lagi diperuntukkan di bawah Bajet 2020, pastikanlah tiada kepincangkan dan cacat cela. Cukuplah penindasan terhadap masyarakat India oleh Kerajaan PH,” kata Gunalan. – The Sentral

POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY DECEMBER 12, 2019, The Sentral