KUALA LUMPUR – MIC meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian harga subsidi dan kawalan untuk ayam yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan pada akhir tahun ini.
Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, pertimbangan itu memandangkan masyarakat India akan meraikan Deepavali pada minggu depan dan sambutan Krismas menjelang hujung Disember.
Murugiah khuatir penarikan semula subsidi ayam memberi kesan kepada golongan B40 dan miskin tegar.
“Walaupun kerajaan sudah memberikan jaminan bahawa penjualan ayam akan berada di bawah harga siling namun tolonglah pertimbang cadangan ini.
“Kita ada dua sambutan perayaan besar iaitu Deepavali dan juga Krismas pada bulan November dan juga Disember. Andainya subsidi diteruskan sehingga tempoh itu, pastinya ramai akan menarik nafas kelegaan.
“Dengan keadaan kos sara hidup meningkat pastinya isu ini akan sedikit sebanyak memberi kesan apatah lagi ketika adanya musim perayaan yang memerlukan perbelanjaan yang lebih berbanding belanja pada hari-hari biasa,” katanya hari ini.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu membuat pengumuman penamatan subsidi ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
Kata Mohamad, penamatan harga kawalan ayam menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan, selain dapat meningkatkan pelbagai insiatif sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai. -MalaysiaGazette
Add Comment