Mi-Voice MIC News

Jangan leka, pastikan caruman PERKESO dan KWSP tepat pada masanya, Saravanan saran majikan dan pekerja

PUCHONG, Sept 18: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini menyaran pihak majikan dan pekerja agar tidak leka dan tidak terlepas pandang di dalam memastikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bulanan dibuat tepat pada masanya agar masa hadapan pekerja dan keluarga mereka sentiasa terjamin dan dilindungi.

Beliau berkata demikian setelah melawat Puan T Poongkoathai, isteri kepada Encik Vijaya Kumaran a/l Veerasamy, seorang pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Encik Vijaya Kumaran yang terlibat di dalam kemalangan semasa balik dari bekerja pada 12 April 2020 telah mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.

Sebelum ini Saravanan telah melawat beliau di Hospital Kuala Lumpur dan menyampaikan faedah PERKESO bernilai RM 23,000.00 bagi pembelian implant untuk pembedahan beliau melalui program Return to Work (RTW). PERKESO telah turut menyampaikan bayaran faedah hilang upaya sementara sebanyak RM 17,344.00 serta menguruskan rawatan pemulihan buat En Vijaya Kumaran di Hospital Colombia. Namun, beliau telah meninggal dunia pada 21 Mei 2021 akibat komplikasi pada otak.

“Saya berkongsi simpati bersama keluarga Encik Vijaya Kumaran di atas kehilangan beliau. Saya bersyukur kerana Isteri mendiang, Pn Poongkoathai dan dua orang anak perempuan mereka kini menerima bantuan kewangan bulanan melalui Faedah Orang Tanggungan (FOT) PERKESO, dan kelangsungan kehidupan mereka tetap terjamin.”

“Bayangkan, apakah nasib ibu tunggal ini bersama dua orang anak gadis beliau jika mendiang dan bekas majikannya gagal membuat caruman PERKESO?”

“Saya ingin menyeru pihak majikan dan warga kerja bagi memastikan caruman PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dibuat tepat pada masanya agar nasib keluarga tersayang mereka sentiasa dilindungi. Jangan leka, jangan alpa, masa hadapan keluarga anda di tangan anda. Laporkan segera jika pihak majikan enggan atau gagal membuat caruman bulanan PERKESO dan KWSP,” saran Saravanan.

https://www.thesentral.my/2021/09/18/jangan-leka-pastikan-caruman-perkeso-dan-kwsp-tepat-pada-masanya-saravanan-saran-majikan-dan-pekerja1/