Mi-Voice MIC News

Naib Presiden MIC saran kerajaan pertimbangkan pemberian komputer riba kepada pelajar IPT B40

TELUK INTAN, Sept 19: Naib Presiden MIC, Dato’ T. Murugiah menyaran kerajaan bagi mempertimbangkan pemberian komputer riba percuma kepada pelajar golongan B40, lepasan SPM dan STPM yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lama lagi.

“Saya memohon kepada kerajaan, khasnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) agar memperhalusi cadangan pemberian komputer riba ini kepada pelajar golongan B40 secepat mungkin, memandangkan sesi pengajian akan bermula bulan hadapan.”

“Kelengkapan komputer riba ataupun gajet peranti kini menjadi satu keperluan asas buat bukan sahaja pelajar IPT, malah pelajar sekolah rendah dan menengah sekali. Skim Jaringan Prihatin yang diumumkan kerajaan sebelum ini membolehkan golongan B40 mendapatkan gajet peranti dengan spesifikasi asas dan minimum bagi proses pembelajaran di atas talian anak-anak mereka.”

“Namun, bagi peringkat IPT, sama ada universiti, politeknik, institusi kemahiran dan sebagainya, pelajar memerlukan laptop atau notebook dengan spesifikasi tinggi bagi tujuan pembelajaran di atas talian, kajian, projek dan sebagainya. Harga pasaran bagi laptop atau notebook dengan spesifikasi sedemikian rata-rata bermula dari RM 2,000 seunit,” kata Murugiah.

Menurut Murugiah, adalah sukar dan mencabar buat keluarga B40 menyediakan kelengkapan komputer riba kepada anak-anak yang bakal memasuki IPT memandangkan kekangan ekonomi yang wujud berikutan penularan pandemik Covid-19 dan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Maka, adalah wajar bagi kerajaan menyediakan kemudahan laptop atau notebook dengan spesifikasi tinggi kepada pelajar IPT agar mereka tidak ketinggalan di dalam pengajian. Saya mohon cadangan ini diteliti segera demi manfaat Keluarga Malaysia,” tambah Murugiah, yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah menyampaikan bantuan komputer riba yang diusahakan beliau kepada pelajar-pelajar kumpulan B40 dari kawasan Teluk Intan yang telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke IPT tahun ini.

https://gerakmalaysia.com/2021/09/19/naib-presiden-mic-saran-kerajaan-pertimbangkan-pemberian-komputer-riba-kepada-pelajar-ipt-b40/