MIC Youth

Benarkan industri kitar semula kembali beroperasi demi kelestarian alam sekitar, Pemuda MIC saran kerajaan

KUALA LUMPUR, Ogos 10: Pergerakan Pemuda MIC hari ini menyaran kerajaan agar mempertimbangkan cadangan membenarkan industri kitar semula beroperasi dengan pemantauan SOP yang lebih ketat bagi memastikan kelangsungan ekonomi pemain industri tersebut di seluruh negara.

“Saya menerima banyak keluhan dan rintihan pengusaha industri kitar semula, khasnya golongan perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Lebih dikenali sebagai peniaga besi buruk, mereka berhadapan dengan penutupan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, 2 dan kini 3, menjurus kepada risiko gulung tikar perniagaan mereka. Paling menyayat hati, saya menerima khabar kes seorang pekerja sektor besi buruk membunuh diri beberapa hari yang lepas akibat tekanan kewangan dan emosi,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.

“Saya memang setuju PKP adalah langkah terbaik bagi membendung Covid-19, tetapi perlu kajian teliti ke atas setiap sektor ekonomi, yang kurang berisiko dibenarkan beroperasi dengan pemantauan SOP yang ketat. Pengusaha industri kitar semula tidak menyangka sektor berkenaan akan terus dilarang beroperasi.”

“Industri kitar semula bukan sahaja menjana pendapatan buat pengusaha dan pekerja yang terlibat, malah memastikan kelestarian alam sekitar, mengurangkan pencemaran serta berfungsi sebagai pembekal barangan asas dalam bentuk logam, plastic dan kertas bagi industri lain. Terdapat juga golongan B40 yang terlibat di dalam kutipan barangan buangan untuk dijual kepada pengusaha kitar semula bagi menyara keluarga mereka.”

“Kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan lebih rasional, membenarkan operasi sektor berkenaan dengan penetapan SOP dan syarat yang ketat. Mungkin boleh hadkan masa operasi, hadkan bilangan pekerja yang terlibat di dalam urusan mengutip, membeli atau menjual barangan lusuh, pemakaian pakaian dan peralatan perlindungan lengkap dan sebagainya,” kata Thinalan lagi.

“Pengusaha industri kitar semula ini tetap perlu menanggung kos sewa premis dan perbelanjaan tetap bulanan seperti bil utiliti, bayaran pinjaman, upah pekerja dan sebagainya sepanjang tempoh PKP, ada yang sampai sehingga angka lima digit.”

“Maka, saya menyaran Kerajaan dan MKN bagi mempertimbangkan kebenaran kepada industri kitar semula beroperasi dengan SOP yang lebih ketat dan komprehensif,” saran Thinalan.

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment