Mi-Voice MIC News

Kuil roboh: Pemimpin MIC sifatkan MB Kedah ‘angkuh’, cari publisiti murahan

ALOR SETAR: Naib Presiden MIC, T Mohan, menyelar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai angkuh dan mencari publisiti murahan, sekali gus memanaskan lagi isu perobohan sebuah kuil Hindu.

“Sekiranya kuil itu dibina di tempat haram, sebagai seorang ketua kerajaan di negeri, dia kena uruskan tempat sesuai. Itu baru pemimpin yang baik dan bijak,” kata Mohan kepada FMT.

“Macam ini, saya tengok, dia cuma mencari publisiti, cuba hendak menjadi hero dalam kalangan masyarakat Islam.

“Seolah-olah bila dia cakap macam itu, semua orang Islam akan sokong dia. Itu yang saya lihat. Saya tidak pernah tengok perangai MB macam ini,” kata beliau.

Semalam, Sanusi membidas pimpinan MIC Kedah kerana membantah perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, berusia lebih 50 tahun.

Beliau menyarankan MIC diharam jika ia menghasut rakyat dan memberi amaran kepada parti komponen Barisan Nasional itu “jangan celupar, jangan jadi hero berdasarkan populariti”.

Kritikan Sanusi yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu mengundang respon tegas daripada kepimpinan MIC pusat.

“Dia (Sanusi) kena belajar dengan Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat). Di Kelantan, kuil dijaga oleh kerajaan PAS.

“Saya tidak pernah tengok MB (Kedah) seperti ini, Dia kata hendak haramkan MIC. Adakah dia menteri dalam negeri?” kata Mohan.

“Takkanlah disebabkan satu-satu isu yang berlaku, bila wakil MIC bersuara, dia (Sanusi) suruh haramkan. Dia siapa?” tambah beliau.

Mohan berkata Sanusi tidak patut keterlaluan dalam menangani kes-kes yang melibatkan rumah ibadat bukan Islam.

“Al-Quran juga mengatakan bahawa jika seseorang itu pemimpin, dia bukan sahaja pemimpin untuk agama Islam sahaja, tetapi kena jaga pelbagai agama lain. Itulah baru dinamakan pemimpin,” kata beliau.

“Ini, bila ditegur, (Sanusi) terus jadi macam ini. Pernah ke kita (MIC) persoalkan mengenai surau di mana-mana tempat? Ada juga yang dibuat di tempat haram, tempat yang tidak ada kelulusan, tetapi kita hormati. Ia tempat di mana orang sembahyang, disebabkan itu kita hormat,” kata beliau.

Mohan berkata dengan menyerang MIC, Sanusi hanya mendedahkan diri sebagai pemimpin “tidak matang”.

“Untuk menjadi MB, perlu ada kelayakan tertentu, tetapi dia ini memang tidak layak. Jika MIC tidak berjuang, siapa lagi yang hendak berjuang untuk masyarakat India?

“Dia ingat dia MB, sudah jadi besar. Sedangkan raja-raja di negara kita juga hormat agama lain,” tambah Mohan.

Sanusi sebelum ini berkata tempat ibadat, seperti kuil, hanya boleh dibina selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Katanya, jika masjid boleh dibina berdasarkan undang-undang dan keputusan teliti dibuat majlis agama Islam negeri, dengan mengambil kira jumlah penganut di sekitarnya, penganut agama lain juga perlu mematuhi undang-undang dalam pembinaan tempat ibadat mereka.

“Kenapa penganut agama lain, saya tak khususkan dekat siapa-siapa, dia boleh bina rumah ibadat di mana saja dia rasa nak bina? Kalau dibina di tanah lapang, dia melanggar undang-undang.

“Mereka (MIC) tidak boleh bertindak menjadi pemimpin untuk mencari populariti. Kalau orang yang hidup dalam politik berdasarkan populariti, ikut saja apa kehendak orang ramai, melanggar undang-undang atau tidak, orang itu sebenarnya tak patut jadi pemimpin,” ujar beliau pada sidang media semalam.

Hubungan antara PAS dan MIC Kedah menjadi tegang baru-baru ini selepas ketuanya di negeri itu, S Ananthan, meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya dengan parti Islam itu.

Ia selepas Ananthan mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan Sanusi baru-baru ini.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/03/kuil-roboh-pemimpin-mic-sifatkan-mb-kedah-angkuh-cari-publisiti-murahan/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment