Kuala Lumpur, 18 Jun 2020: Sejak Malaysian Indian Congress (MIC) melancarkan MIC Utavi App pada 18 Mei 2020 lalu, , Pergerakan Wanita MIC pada semua peringkat negeri telah mula bekerjasama dan membantu bahagian MIC masing – masing dalam Program Pendaftaran MIC UTAVI untuk membantu mendaftarkan golongan masyarakat yang memerlukan bantuan, menurut YBhg Puan S. J. Usha Nandhini, Ketua Wanita MIC Kebangsaan. MIC UTAVI merupakan satu sistem atas talian untuk memudahkan permohonan bantuan makanan dan barangan runcit bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan yang terjejas sumber pendapatan disebabkan oleh kongkongan pandemik COVID-19 yang kini berada pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Puan Usha, Program Pendaftaran MIC UTAVI sedang giat diusahakan di bahagian – bahagian MIC di semua peringkat negeri dan Pergerakan Wanita MIC bahagian turut turun padang untuk membantu mendaftarkan permohonan individu dalam sistem MIC UTAVI, terutama sekali keluarga – keluarga wanita golongan B40 yang terjejas sumber pendapatan, keluarga ibu – ibu tunggal, individu Orang Kurang Upaya dan keluarga wanita yang mempunyai ramai anak. Wanita MIC berusaha untuk memastikan bahawa keluarga – keluarga yang memerlukan bantuan tidak ketinggalan terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit dan internet serta individu yang kurang pengetahuan dalam penggunaan permohonan atas talian.
Justeru itu, Puan Usha menyeru kepada semua pihak yang mengenali keluarga yang ketika ini amat memerlukan bantuan barangan runcit atau makanan harian berikutan impak COVID-19, supaya membantu mendaftarkan butiran mereka atas talian di sistem MIC UTAVI atau merujuk mereka ke MIC Cawangan atau Bahagian yang berdekatan untuk bantuan pendaftaran. Pada masa yang sama, Puan Usha juga mengalu – alukan sumbangan dari individu yang ingin menjadi penderma bantuan, dimana penderma juga boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi sistem MIC UTAVI. Penderma sumbangan dan penerima bantuan boleh memohon dan mendapatkan maklumat lanjutan menerusi portal rasmi di https://utavi.com.my, menurut Puan Usha.
Add Comment