MIC Women

JOM DAFTAR MENGUNDI ATAS TALIAN: PENDAFTARAN PEMILIH BARU

Kuala Lumpur, 15 Jun 2020: Ketua Wanita MIC Kebangsaan, YBhg Puan S. J. Usha Nandhini menggesa individu yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, untuk menggunakan kemudahan pendaftaran atas talian untuk mendaftar sebagai pengundi. MySPR Daftar membolehkan pemohon mendaftar secara talian sebagai pemilih untuk layak mengundi pilihanraya, yang mana sistem ini lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding dengan sistem konvensional terdahulu. Pendaftaran atas talian ini mudah dilakukan dari telefon bimbit atau komputer.

Para pemohon hanya perlu melayari laman sesawang Suruhanjaya Piliharaya https://www.spr.gov.my/ dan pilih butang MySPR Daftar. Pemohon perlu mendaftar akaun pengguna MySPR Daftar, menerima e-mel pengaktifan akaun tersebut, dan kemudiannya mengisi Borang A (Pendaftaran Pemilih). Ikuti langkah – langkah seterusnya untuk melengkapkan butiran peribadi dan muatnaik dokumen yang diperlukan. Dengan MySPR Daftar, rakyat Malaysia boleh juga melakukan permohonan tukar alamat atau bahagian pilihanraya secara atas talian.

Terutama sekali kepada kaum wanita dan pelajar – pelajar pengajian tinggi yang telah sempurna umur 21 tahun, Puan Usha menyeru kepada semua individu untuk menggunakan kemudahan atas talian ini dan mendaftar sebagai pengundi untuk masa depan bangsa dan negara. Pendaftaran pemilih sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang, membolehkan warganegara Malaysia yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih. Mengundi adalah hak setiap warganegara, maka adalah penting untuk mendaftar awal dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, saran Puan Usha.