Mi-Voice MIC News

Kecelaruan dan kekeliruan rakyat kepada politik semasa

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai fenomena yang melanda negara didapati menimbulkan kekeliruan, kebingungan dan kegusaran pemikiran rakyat.

Antaranya, penularan penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19), laporan prestasi ekonomi negara yang kurang memberangsangkan dan suasana politik yang tidak stabil.

Wabak COVID-19 yang tercetus di China dan merebak ke seluruh dunia dengan begitu pantas dilihat masalah dunia pada masa kini.

Angka kematian akibat wabak COVID-19 di China sahaja dilaporkan melonjak lebih daripada 1,000 orang dengan jumlah yang dijangkiti mencatat lebih daripada 40,000 orang setakat ini.

Namun begitu, hanya 22 kes (sehingga Rabu, 19 Februari) COVID-19 sahaja dilaporkan di Malaysia setakat ini dan tidak ada sebarang kes kematian dilaporkan di negara ini.

Malaysia dilihat berjaya dalam usaha mengawal dan membendung penularan wabak tersebut dalam kalangan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai tindakan dengan pantas dan cekap.

Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam membendung jangkitan COVID-19. Syabas diucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 di serata dunia secara tidak langsung menjejaskan industri pelancongan negara.

Menurut laporan Persatuan Pelancong dan Perhotelan, sektor perhotelan tempatan akan mengalami kerugian lebih daripada RM40 juta untuk tahun 2020 sekiranya wabak ini terus merebak tanpa dibendung.

Ia sekali gus akan turut menjejaskan pelaksanaan program Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang mensasarkan hampir 100 juta pelancong luar negara dan dijangka mampu menjana pendapatan lebih RM30 bilion buat negara bagi tahun 2020.

Rakyat gusar

Selain daripada isu penularan wabak penyakit COVID-19, rakyat juga gusar terhadap prestasi ekonomi negara yang semakin merudum.

Meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada kadar 4.7 peratus bagi tahun 2019, namun pada hakikatnya, negara hanya mencatatkan pertumbuhan KDNK pada 4.3 peratus bagi tahun 2019 seperti yang dilaporkan Bank Negara Malaysia.

Kadar ini merupakan yang terendah dicatatkan sejak tahun 2009. Bahkan, rakyat dilihat semakin terhimpit dengan isu percaturan politik yang di antara parti-parti komponan PH berhubung isu jawatan Perdana Menteri.

Saban hari, media sosial terutamanya media cetak perdana menyiarkan laporan detik bila Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR.

Penyerahan jawatan itu akan dilakukan kerana dikatakan adanya perjanjian antara parti-parti komponan PH bahawa Dr Mahathir hanya akan memegang jawatan perdana menteri untuk tempoh dua tahun sahaja.

Malahan media perdana baru-baru ini turut melaporkan Dr Mahathir hanya akan meletakkan jawatan sebagai menepati janjinya selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pacifik (APEC) yang dijadualkan November ini.

Dalam pada itu, rakyat turut dikejutkan dengan langkah parti Pas, sebuah parti pembangkang yang juga pelopor Muafakat Nasional bersama UMNO yang akan membentangkan usul undi percaya kepada kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama, sumber media sosial juga mendedahkan seramai 138 Ahli Parlimen telah bersiap sedia untuk menyokong usul undi percaya terhadap Dr Mahathir yang akan dibentangkan Pas.

Sokongan sejumlah besar Ahli Parlimen ini sudah mencukupi untuk mempertahankan Dr Mahathir agar terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Sokongan majoriti

Persoalannya, apakah sidang Parlimen akan membenarkan usul undi percaya tersebut diteruskan dan apakah Dr Mahathir akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen seperti yang diuar-uarkan?

Apakah penyerahan dan peralihan jawatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir kepada Anwar tanpa memperhitungkan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kepada Anwar terlebih dahulu adalah sah dari segi undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan?

Apakah Majlis Presiden PH akan mendapat konsensus (undi majoriti) untuk mencalonkan Anwar dan diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan?

Sehubungan itu, semua perlu sedar bahawa menurut Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Perkara 43 (2)(a), Perlembagaan Persekutuan turut menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang pada hemat baginda berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Menurut Seksyen (4) perkara yang sama, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan keadaan politik yang agak rapuh seperti dihuraikan, sentimen rakyat, khususnya orang Melayu kini semakin bercelaru dengan langkah Pas tersebut.

Sokongan orang Melayu didapati bercampur-campur malah berpecah kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan yang menyokong langkah Pas dan ada pula yang tidak bersetuju.

Malah UMNO yang mendukung Muafakat Nasional juga didapati tidak mendapat konsensus dalam kalangan mereka untuk menyokong langkah Pas.

Jika dilihat dari persepsi orang Cina pula, sebahagian besar daripada mereka tidak bersetuju dengan langkah Pas, malah mendakwa tindakan tersebut bermotif jahat dan hanya dilaksanakan untuk melemahkan serta memecah-belahkan kekuatan serta perpaduan antara parti-parti komponan PH.

Sementara itu, sebahagian besar masyarakat India bersama pendirian kepimpinan MIC dalam hal ini. Pendirian kepimpinan MIC amat jelas iaitu tidak mahu campur tangan dalam polemik undi percaya terhadap Dr Mahathir yang dijangka diusul Pas.

Sebaliknya, MIC akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) dalam menjayakan matlamat Muafakat Nasional yang terbentuk antara UMNO, Pas, MIC dan MCA.

Apapun rakyat akan menunggu dan melihat apakah tindakan Pas yang dilihat sebagai strategi politik untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan akan berjaya pada bulan November ini …

  • Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment