MIC News

MIC: Hasutan DAP punca k’jaan negeri tak boleh bincang dengan pekebun Kuala Terla

Presiden MIC itu juga menyifatkan Ramasamy tidak akan meletakkan jawatan kerana beliau merupakan pemimpin yang “tak tahu berasa malu”.

Presiden MIC SA Vigneswaran menyalahkan pemimpin DAP susulan penggusuran kebun di Kuala Terla, Cameron Highlands.

Kata Vigneswaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan pemimpin DAP yang lain sebelum ini menghasut pekebun di Kuala Terla untuk mendapatkan injunksi interim (perintah untuk menghalang) terhadap kerajaan negeri di mahkamah.

Justeru, katanya, kerana kes itu dibawa ke mahkamah, kerajaan negeri Pahang tidak boleh mengadakan sebarang perbincangan dengan pekebun.

“MB (Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail) bersetuju untuk berjumpa pekebun bersama kami (MIC). Dan tarikh ditetapkan pada 10 April tahun ini.

“Namun, tiba-tiba kami mendapati pekebun-pekebun ini membuat permohonan mendapatkan injunksi interim di mahkamah. Ini yang menjadi isu selepas kerajaan negeri berkata tidak boleh mengadakan sebarang perbincangan sekiranya ada kes di mahkamah […]

“YB Ramasamy, bukankah kamu dan parti kamu yang bijak pandai dalam menghasut semua untuk bawa segala macam kes ke mahkamah?

“Saya cabar Ramasamy untuk membutikan bahawa MIC yang memaksa pekebun ini menarik balik kes (injunksi interim) ini,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pegawai khas (wakil India) Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail bertindak meletakkan jawatan apabila kecewa dengan keputusan kerajaan negeri itu berhubung pengusiran 60 pekebun di Kuala Terla.

Malah, 11 ahli majlis daripada MIC juga menarik diri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai tanda tidak puas dalam isu tanah pendudukan sementara (TOL) di Kuala Terla.

Susulan itu, Ramasamy dan pemimpin MIC saling mengkritik, dengan wakil rakyat DAP itu mendakwa MIC terlibat dalam memujuk penduduk menarik injunksi interim terhadap kerajaan Pahang dengan menjanjikan situasi menang-menang.

Setiausaha Agung MIC, M Asojan menafikan dakwaan itu dan menggesa Ramasamy menarik balik tuduhannya atau berdepan tindakan mahkamah.

Manakala, MIC dan MCA pula menuduh MKN dan Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Besar Pahang bertanggungjawab memutuskan untuk mengarahkan penggusuran kebun berkenaan.

Sementara itu, Vigneswaran berkata keputusan mengusir pekebun dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sekali gus, katanya, penggusuran kebun di kawasan berkenaan juga merupakan kegagalan PH dan pemimpin DAP.

“Siapa yang mempengerusi MKN? Perdana menteri kamu kan? Sekiranya bermaruah, kamu (Ramasamy) sedia letak jawatan kerana keputusan MKN punca pekebun-pekebun ini diusir.

“Saya fikir Ramasamy tidak akan letak jawatan. Beliau tidak pernah berasa malu,” katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/504793

About the author

TheVoice

Add Comment

Click here to post a comment