KUALA TERLA, Dis 21: Pergerakan Pemuda MIC Negeri Pahang membantah tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang telah mengarahkan 60 pekebun kecil kawasan Kuala Terla, Cameron Highlands mengosongkan tanah pertanian mereka tanpa menawarkan sebarang penyelesaian alternatif.
“Bidang pertanianlah satu-satunya punca pendapatan dan sumber sara hidup 60 keluarga yang terlibat selama 3 generasi. Segala komitmen dan tanggungjawab mereka bergantung kepada hasil pertanian yang diusahakan. Apakah rasionalnya mereka diusir dari kawasan yang mereka usahakan selama ini tanpa sebarang penyelesaian alternatif?” soal Karthikesan Murugiah, Ketua Pemuda MIC Negeri Pahang.
“Kami amat berdukacita Kerajaan Barisan Nasional Negeri Pahang dan Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan, kedua-duanya tidak peduli akan nasib 60 buah keluarga yang terbabit. Manakah komitmen Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang berjanji akan membantu pekebun tersebut? Kenapakah Menteri Besar Negeri Pahang Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail enggan mendengar rintihan mereka?” soal Karthikesan lagi.
“Pelbagai janji ditaburkan semasa pilihan raya umum dan kecil oleh kerajaan negeri bahawa nasib pekebun tersebut akan dibela. Adakah mereka ditindas sekarang kerana kononnya mereka tidak menyokong Barisan Nasional? Kenapa pekebun tersebut tidak diberi tanah alternatif sekian lama yang sudah pasti akan dapat selesaikan isu ini awal-awal?” soal Karthikesan lagi.
Untuk rekod, 60 orang pekebun tersebut telah menerima notis pengosongan tanah pertanian mereka pada bulan Mac lepas, namun ianya tertangguh apabila mereka memulakan kes makhamah terhadap arahan tersebut. Kes tersebut telah ditarik balik dengan harapan mereka akan mendapat penyelesaian sewajarnya dari kerajaan.
“Kesemua 60 keluarga pekebun tersebut mempunyai komitmen bayaran balik pinjaman bank, sara hidup, pendidikan anak-anak dan banyak lagi. Arahan pengosongan tanah sudah pasti akan meruntuhkan segalanya. Mereka meminta tempoh masa lima tahun lagi bagi mengosongkan tanah, tempoh yang cukup bagi mereka bebas dari komitmen kewangan yang mereka laburkan bagi mengusahakan tanah tersebut.”
“Kami menyeru Kerajaan Negeri Pahang bagi menawarkan kawasan baru bagi relokasi aktiviti pertanian mereka bagi memastikan kesinambungan hidyup mereka. Kami akan bersama 60 buah kelurga pekebun ini sehingga mendapat justifikasi yang sewajarnya,” tegas Karthikesan. – The Sentral
Source: https://thesentral.com/jangan-tindas-pekebun-cameron-highlands-pemuda-mic-bantah-arahan-kerajaan-negeri-pahang/
Add Comment