KUALA LUMPUR, Dis 17: Parti Malaysian Indian Congress (MIC) akan memastikan sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Parti PAS terhadap Rang Undang-Undang 355 (RUU355) tidak akan memberi impak terhadap masyarakat bukan Islam di Malaysia.
“Kami sangat peka dan terbuka terhadap pandangan dan persepsi masyarakat India yang khuatir terhadap pindaan RUU355 yang dicadangkan oleh PAS. Seperti yang ditekankan oleh Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, pindaan tersebut hanya memberi kesan kepada mereka yang beragama Islam. Hak dan kebebasan beragama mereka yang bukan beragama Islam terpelihara di bawah Perlembagaan dan sistem perundangan negara,” kata Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan Presiden MIC yang hadir merasmikan Program Dialog Isu Dan Penyelesaian Bagi Masalah Pertukaran Agama yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penerangan, Sayap Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan di ibu negara petang tadi.
“Mana-mana perkara berstatus ‘kelabu’ seperti kesan pertukaran agama, hak penjagaan anak dan sebagainya akan dikaji terlebih dahulu, dan akan dibincang bersama parti PAS secara konsultasi dan konsensus. Kepentingan dan hak masyarakat Indian tidak akan MIC mempergadaikan sama sekali demi kepentingan politik,” tegas Saravanan lagi.
Terlebih dahulu, Prathish Viswanath, pakar undang-undang dari India memberi penjelasan mengenai isu-isu berkait pertukaran agama dan cara penyelesaiannya dari segi undang-undang secara konsensus yang diamalkan di negara India.
Ketua Penerangan MIC, V. Gunalan yang ditemui selepas sesi dialog tersebut berkata bahawa parti MIC akan terus memberi penjelasan mengenai pendirian parti di dalam isu pindaan RUU355 kepada akar umbi di seluruh negara, di samping membincangkan masalah berbangkit bagi penyelesaiannya.
“Kita akan membimbing dan menjana kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkait pertukaran agama dan impaknya, kerana keputusan bertukar agama adalah hak mereka,” jelas Gunalan.
Lebih 300 orang pemimpin MIC telah menghadiri sesi dialog hari ini. – The Sentral
POSTED BY: VASUDEVAN KRISHNASAMY DECEMBER 17, 2019