Mi-Voice MIC News

Keterserlahan YB Datuk Seri M. Saravanan Sebagai Mantan Menteri Sumber Manusia Tiada Bandingannya – Thinalan Dato’ T.Rajagopalu

Saya terpanggil untuk menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang tidak arif, separa matang dan kerakusan populariti kebelakangan ini mengenai khidmat dan pencapaian Datuk Seri M. Saravanan ketika menggalas jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia di dalam kerajaan terdahulu. Tempoh 32 bulan Datuk Seri M. Saravanan memikul tanggungjawab berkenaan adalah paling mencabar di dalam sejarah negara, yakni ketika negara mengharungi ketidakstabilan politik serta kesan pandemik Covid-19 yang pada puncaknya. Beliau mengemudi kementerian yang paling relevan kepada akar umbi negara, yang memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan tenaga kerja negara.

Beliau telah diberi amanah bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan insentif buat tenaga kerja negara yang terkesan akibat Covid-19 di bawah pelan PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI di bawah KSM dan agensi-agensi di bawahnya. Ini adalah termasuk bantuan kewangan kepada pekerja swasta yang diberhentikan ataupun diberi notis tanpa gaji di bawah Program Pengekalan Pekerja (ERP) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Peluang kerjaya baru diwujudkan di bawah program MyFutureJobs yang dikemudi oleh PERKESO di bawah seliaan Datuk Seri M. Saravanan.

Melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) pula puluhan ribu individu ditawarkan kerjaya di bawah skim PENJANA HRDF. Lima skim yang diperkenalkan iaitu Latihan dan Penempatan, Pembangunan 40, Pembangunan SME, Revolusi Industri 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG) secara langsung memperkasakan tenaga kerja negara dengan penuh efektif. Datuk Seri M. Saravanan juga telah memastikan pelaksanaan skim gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei 2022, yang hanya sekadar omong kosong peneraju KSM sebelum beliau. Penetapan gaji minimum ini menjadi titik bersejarah buat jutaan warga kerja Malaysia.

Beliau juga instrumental di dalam pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan tenaga kerja terjamin. Melalui ilham beliau, KSM juga telah membangunkan modul latihan dan kemahiran kepada Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja (PPKP) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Datuk Seri M. Saravanan turut menerajui Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 di Parlimen bertujuan demi memartabatkan kesatuan sekerja di Malaysia. Pindaan akta tersebit adalah selaras dengan budaya antarabangsa yang dijulang oleh Organisasi Perburuhan Antarabangsa (ILO). Seiring dengan usaha kerajaan bagi memacu ekonomi negara pasca pandemic Covid-19 dan keperluan sektor perindustrian negara, Datuk Seri M. Saravanan telah membentangkan usul pengambilan semula pekerja asing yang dipersetujui oleh kabinet. Sektor-sektor ekonomi penting, seperti perkilangan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian telah diberi kelulusan untuk menggaji pekerja asing dari negara negara sumber yang dibenarkan. Beliau telah merealisasikan kerjasama dengan kerajaan negara-negara sumber bagi pekerja asing seperti Bangladesh dan Indonesia melalui memorandum persefahaman yang dimeterai. Malah, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja telah dibuka kepada majikan dalam empat sektor perkhidmatan, iaitu restoran, kargo, borong dan runcit, serta pembersihan dan pencucian menerusi usahasama KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebagai usaha menyantuni keperluan dan aduan tenaga kerja negara, Datuk Seri M. Saravanan telah mengilhamkan aplikasi Working for Workers (WFW) yang menyediakan platform kepada warga kerja berhubung terus dengan KSM dan agensi-agensi berkait bagi menyalurkan masalah yang mereka hadapi tanpa sebarang tekanan dan halangan. Banyak lagi pencapaian Datuk Seri M. Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia yang telah menjadi perintis kepada pemerkasaan semula tenaga kerja serta industri negara. Anehnya, masih ada pihak yang mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai mantan Menteri Sumber Manusia. Saya meminta mereka untuk membuat ‘kerja rumah’ secara betul dan ikhlas. Bertindaklah berdasarkan fakta dan bukti, bukannya secara melulu.

Thinalan Dato T. Rajagopalu
Ketua Penerangan MIC Kebangsaan