KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa pembangkang yang tidak berpuas hati dengan pembubaran Parlimen kini mereka menyasarkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan menyebarkan fitnah tiada asas.
“Terbaru, mereka putar belit kenyataan Ahmad Zahid pada AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) MIC selepas beberapa hari mereka mendapat idea untuk menyebarkan tohmahan serta fitnah benci, mereka tampil dengan naratif terbaru dengan memutarbelitkan kenyataan Zahid.
“Zahid memberikan amaran kepada keseluruhan komponen BN untuk menang besar dan beri pencerahan yang betul dan berasas kepada para pengundi jika tidak rata-rata daripada kami akan berdepan dengan pelbagai pendakwaan politik dendam yang terjadi kepadanya dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Zahid tidak pernah berbicara apa-apa kononnya pilihan raya ini untuk membebaskan beberapa pemimpin yang pembangkang gelar kluster mahkamah sebaliknya beliau hanya bercakap tentang apa yang terjadi selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Beliau juga mahu kemenangan dominan bagi memastikan tidak ada pemimpin pembangkang yang sedang berdepan dengan perbicaraan terlepas, itu yang terjadi selepas pembangkang menjadi kerajaan.
“Presiden UMNO tidak langsung merujuk kepada mana-mana pemimpin BN kononnya melakukan rasuah sebaliknya kata beliau sesiapa sahaja dalam kalangan kami mungkin akan didakwa akibat perbuatan politik dendam seperti yang dilakukan.
“Seperti biasa semuanya putar belit bagi memastikan undi tidak berpihak kepada BN, betapa liciknya mereka hanya untuk pastinya kuasa itu milik mereka tanpa perlu melakukan apa-apa selain melakukan provokasi dan pembohongan seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, ketika Perhimpunan Agung Tahun MIC ke-76, Zahid ketika berucap di hadapan semua pimpinan BN dan perwakilan MIC, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengingatkan keseluruhan komponen BN tampil menang besar bagi memastikan nasib rakyat terbela selepas ini.
Ketika itu, Zahid turut meluahkan pandangan beliau tentang prosiding mahkamah yang sedang beliau hadapi sejak tahun 2018 lagi selepas didakwa atas beberapa kes, pengalaman itu baginya adalah amat sukar namun perlu di hadapi olehnya selepas bergelar ahli politik yang berjuang untuk rakyat.
Zahid juga mendakwa ada kemungkinan pemimpin BN akan berdepan dengan perbicaraan jenayah seperti rasuah di mahkamah jika tewas pada PRU-15 ini.
Kata Vigneswaran, pembangkang tidak pernah mempunyai sebarang rekod kerja yang bagus untuk di pamerkan kepada rakyat dan menggunakan peluang untuk terus mengelirukan para pengundi dengan apa sahaja ‘sampah’ seperti kenyataan luar konteks.
“Tidak wajar langsung untuk pemimpin pembangkang mengambil kenyataan BN di luar konteks untuk publisiti murahan untuk mengelirukan pengundi. Rakyat sudah muak dengar fitnah dan pembohongan.
“Mereka hanya mahu dengar perkara berkaitan mereka, permasalahan dan penyelesaian setiap isu dihadapi mereka apatah lagi dengan keadaan pasca pandemik serta ekonomi tidak stabil lagi. Soal penting ketika ini adalah masa depan negara bukan lagi cerita seperti ini. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2022/10/12/ucapan-zahid-rasmi-agm-mic-sengaja-diputar-belit-vigneswaran/
Add Comment