Mi-Voice MIC News

MIC tak minat tanding di Pulai – Vigneswaran

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata partinya tidak berminat bertanding di kerusi parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dia juga menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed ketika menawarkan kerusi itu kepada MCA dan MIC sebagai kenyataan yang tidak diingini.

“MIC tidak pernah meminta untuk bertanding di kerusi parlimen itu. Malah, kami tidak minat bertanding di situ.

“Jadi, isu ini tidak perlu dibangkitkan selepas ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas kenyataan Nur Jazlan yang mencabar MIC untuk ‘berkorban’ dengan menyerahkan kepada Umno kerusi Tapah pada PRU15 sebagai balasan kesediaan parti itu untuk menyerahkan kerusi Pulai.

Sebagai rekod, parlimen Tapah kini disandang Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Nur Jazlan memegang kerusi Pulai selama tiga penggal sebelum dikalahkan oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pada PRU 2018.

Perbalahan tercetus apabila Nur Jazlan menyelar MIC dan MCA bulan lalu, dengan berkata BN tidak boleh bergantung kepada kedua-dua parti itu untuk meraih sokongan bukan Melayu.

Nur Jazlan juga menyifatkan kedua-dua parti itu terlalu bergantung kepada Umno.

Kenyataan itu mengundang reaksi Saravanan, yang menganggap Nur Jazlan sebagai seorang yang cepat melatah dan tidak sedar diri.

Nur Jazlan kemudiannya mencabar timbalan presiden MIC itu untuk bertanding di Pulai, tetapi cabaran itu baru-baru ini disahut oleh Ketua Penerangan MIC Johor S Deva.

Sementara itu, Vigneswaran berkata rundingan kerusi parlimen adalah tugas pucuk pimpinan BN.

“Saya berpendapat pemimpin-pemimpin negeri tidak perlu campur tangan dalam hal ini,” katanya.

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment