KUALA LUMPUR – Sejak beberapa hari lepas, MIC berdepan dengan pelbagai kritikan berhubung pendirian parti itu dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Malah daripada 111 ahli Parlimen yang bersetuju mengundi lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat, hanya undi oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menjadi perhatian.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran melahirkan rasa kecewa dengan segelintir pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan cuba memutarbelitkan fakta selain mengapi-apikan rakyat terutamanya dalam masyarakat India di negara berhubung lanjutan subseksyen itu.
“Janganlah asyik-asyik hendak ambil kesempatan dan tuding jari kepada MIC sepanjang masa. Dua hari lepas, apabila 111 ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 lagi tidak hadir ketika undian belah bahagi bagi perlanjutan subseksyen 4(5) SOSMA, ramai dalam kalangan PH terutamanya DAP berminat dengan undi Saravanan.
“Pelbagai cerita disebar kononnya MIC tidak ikhlas pertahankan hak undang-undang 28 tahanan SOSMA yang telah ditahan bawah akta itu baru-baru ini. Realitinya, undian pada hari itu adalah meluluskan subseksyen 4(5) sahaja bukannya gugurkan keseluruhan Akta SOSMA.
“Hakikatnya tidak ada undian atau usul yang dibawa pada hari itu untuk memansuhkan Akta SOSMA. Jadi mengapa mahu putar belit?” soalnya.
MIC adalah parti yang menjunjung Perlembagaan serta undang-undang negara tanpa sebarang kompromi. Kita berpendirian sememangya harus ada undang-undang yang menyekat mana-mana individu mahupun kumpulan dalam aktiviti keganasan sama sekali, katanya.
Sambung RT Raja, MIC juga tidak bersetuju seandainya akta itu dipergunakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kes-kes tahanan yang boleh dihadapkan terus ke mahkamah untuk kesalahan jenayah.
“Saya beri contoh, baru-baru ini PDRM telah menahan 47 pesalah berbangsa India kerana disyaki terlibat dengan aktiviti kongsi gelap malah hanya kerana badan mereka ada tatu. Hakikatnya, pesalah-pesalah ini boleh dituduh bawah Sesyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966 dan Akta Pertubuhan Kanun Keseksaan Jenayah di Mahkamah Jenayah.
“Tetapi mereka semua telah ditangkap di bawah Akta SOSMA. Pernah juga PDRM tahan individu terlibat dengan aktiviti judi bawah Akta SOSMA. Jadinya, pendirian MIC amat jelas, kita tidak menentang undang-undang tetapi pada masa sama PDRM, KDN perlu lebih teliti sebelum menggunakan Akta SOSMA itu.
“Polis tidak perlu ambil langkah mudah kurangkan indeks jenayah dengan membuat tangkapan menggunakan SOSMA, POCA dan sebagainya.
“Baru-baru ini apabila Biro Hak Asasi Kemanusian MIC mengendalikan kes 21 tahanan SOSMA atas dakwaan jenayah terancang di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, kita mendapat tahu ada aduan tahanan dipukul, tidak ada akses perubatan malah suasana teruk di tempat tahanan amatlah membimbangkan kita.
“Hari ini pula seorang dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan kritikal. Ini yang kita bimbang, hak asasi dan pemahamaan terhadap akta ini amat penting.
“Kepada kumpulan pembangkang yang sentiasa mahu menuding jari, mengapi-apikan masyarakat kita, hentikan perbuatan sia-sia ini,” tegasnya.
Untuk makluman, selepas undian diluluskan kelmarin, subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA akan terus berkuat kuasa selama lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai ini.
SOSMA yang berkuat kuasa 22 Jun 2012 menyediakan langkah-langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, selain menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2022/07/28/mic-mohon-kdn-pdrm-jangan-salah-guna-akta-sosma/?amp
Add Comment