Mi-Voice MIC News

Hukuman gantung Nagaenthran ditangguhkan, terima kasih kerajaan Malaysia dan Singapura- Vigneswaran

KUALA LUMPUR, Nov 8: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran merakamkan penghargaan beliau kepada kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura di atas keputusan Mahkamah Tinggi Singapura hari ini yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang warga Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung pada Rabu (10 Nov) atas sabitan mengedar dadah.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah meminta rakan sejawatannya Lee Hsien Loong dari Singapura bagi meringankan hukuman kes tersebut, dan menangguhkan hukuman tersebut sehingga proses rayuan atau permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura dipertimbangkan.”

“Hari ini kita telah menerima khabar gembira berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang memberi peluang kedua kepada D. Nagaenthran,” kata Vigneswaran ketika dihubungi Gerak Malaysia.

Mahkamah Tinggi Singapura telah memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Prosiding bagi permohonan mencabar pelaksanaan penghakiman didengar melalui aplikasi zoom hari ini, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman gantung pada 10 Nov.

Sehingga Mahkamah Rayuan mendengar kes itu dan menyampaikan keputusan, penangguhan pelaksanaan akan dilaksanakan.

Nagaenthran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 42.7g (1.5 aun) heroin ke Singapura.

Pada perbicaraan itu, peguamnya mencabar hukuman mati berkenaan dengan hujah bahawa adalah tidak mengikut undang-undang untuk menggantung seseorang yang kurang upaya intelek.

“Kami berharap pasukan guaman Nagaenthran akan memanfaatkan peluang kedua yang diterima mereka dengan sewajarnya dan menyelamatkan Nagaenthran dari hukuman,” ujar Vigneswaran.

https://gerakmalaysia.com/2021/11/08/hukuman-gantung-nagaenthran-ditangguhkan-terima-kasih-kerajaan-malaysia-dan-singapura-vigneswaran/