Mi-Voice MIC News

Industri kitar semula wajar dibuka semula di bawah Fasa 1 PPN, gesa Naib Presiden MIC

KUALA LUMPUR, Sept 6: Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah menggesa kerajaan agar membenarkan operasi industri kitar semula di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya menerima banyak keluhan dan rintihan dari pengusaha industri kitar semula, khasnya dari kawasan Lembah Klang yang menjadi pusat industri kitar semula yang utama di Malaysia. Bagi negeri-negeri yang telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN, industri tersebut telah dibenarkan beroperasi kembali, tetapi nasib pengusaha di negeri lain masih menjadi persoalan.”

“Industri kitar semula adalah sektor yang terkena tempias teruk akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan sejak tahun lepas. Malah, ada dalam kalangan syarikat kitar semula itu ketika ini mengalami kerugian sehingga RM200,000 sebulan. Rata-rata pekerja khususnya warga tempatan dalam industri berkenaan turut dihimpit pelbagai tekanan dan masalah susulan sekatan berkenaan,” kata Murugiah di dalam satu kenyataan.

“Jika sekatan ini terus berpanjangan dan pemain industri tidak dibenarkan beroperasi, bagaimana mereka boleh membayar gaji pekerja dan tanggungan berulang sepert sewa premis, bil utiliti dan sebagainya? Jalan akhirnya ialah jumlah pekerja ini terpaksa dikurangkan dan syarikat juga terpaksa ditutup satu-persatu,” ujar beliau.

Kata Murugiah, sekatan ke atas industri kitar semula sebenarnya berbahaya kepada alam sekitar terutama jika bahan terbuang atau kitar semula disimpan terlalu lama. Ianya mampu membawa kesan negatif ke atas kelestarian alam sekitar.

“Kelangsungan ekonomi pemain industri serta kelangsungan kehidupan pekerja sektor tersebut haruslah dilindungi.”

“Maka, saya memohon pertimbangan dan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti perkara ini dan membenarkan industri kitar semula beroperasi kembali dengan penetapan SOP yang ketat, sebagaimana sektor lain yang telah dibenarkan beroperasi,” kata Murugiah.

https://gerakmalaysia.com/2021/09/06/industri-kitar-semula-wajar-dibuka-semula-di-bawah-fasa-1-ppn-naib-presiden-mic/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment