Mi-Voice MIC News

MRSM: Langkah terkebelakang halang masuk pelajar aliran vernakular, agama – Sivarraajh

KUALA LUMPUR: Tindakan terbaharu pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menghalang pelajar-pelajar dari aliran pendidikan vernakular dan agama dari memohon ke institusi itu adalah satu tindakan yang terkebelakang.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, langkah itu seolah-olah menafikan kebolehan pelajar-pelajar lepasan aliran pendidikan vernakular dan agama di negara kita.

“Realitinya, kedua-dua aliran pendidikan ini masih melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dari segenap aspek dan layak untuk diberi peluang untuk meneruskan pengajian di MRSM.

“Bukankah tindakan baru ini seolah-oleh menafikan hak mereka? Saya berpandangan, pihak MRSM terutamanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang bertanggung jawab untuk mengawal selia MRSM perlu segera menjelaskan perubahan dasar ini dan mempertimbang untuk kembali menggunakan dasar pengambilan sedia ada yang lebih inklusif.

“MRSM adalah antara institusi pendidikan negara yang bermutu tinggi dan berpotensi untuk melahirkan ‘human capital’ yang holistik dalam pelbagai bidang. Adalah tidak wajar untuk menjadikan MRSM sebagai satu institusi pendidikan yang eksklusif untuk golongan pelajar dari aliran pendidikan yang tertentu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan isu berhubung dasar pengambilan baharu MRSM yang tidak lagi akan menerima permohonan kemasukan dari kalangan pelajar sekolah vernakular dan sekolah agama.

Dalam pada itu kata Sivarraajh, perubahan dasar pengurusan MRSM tidak langsung mencerminkan gagasan ‘Keluarga Malaysia’.

Tegasnya, langkah itu sekali gus menyimpang jauh dari aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi penekanan kepada usaha integrasi kaum dan agama yang lebih tersusun.

“Walaupun pada dasarnya MRSM hanya terbuka untuk pelajar bumiputera, dasar tersebut telah diubah secara berperingkat sejak kebelakangan ini terutamanya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan MRSM dapat menjadi institusi pendidikan yang lebih inklusif.

“Berikutan itu, pelajar-pelajar pelbagai latar kaum dan aliran pendidikan telah mula diterima ke MRSM.
“Perubahan dasar tersebut adalah selaras dengan gagasan ‘1Malaysia’ yang diterajui oleh pentadbiran Najib ketika itu,” jelasnya.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mrsm-langkah-terkebelakang-halang-masuk-pelajar-aliran-vernakular-agama-sivarraajh-317864

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment