TAPAH: MIC menghormati keputusan UMNO yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan walau bagaimanapun menegaskan perkara tersebut turut perlu dimuktamadkan di peringkat Barisan Nasional (BN).
Justeru Ahli Parlimen Tapah itu berkata, MIC masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin sehingga ada ketetapan baharu diambil di peringkat BN.
Katanya beliau yakin BN akan mengambil keputusan yang akan memberi kebaikan kepada semua pihak.
“Saya tetap hormat pendirian UMNO, tetapi harus dibawa, diangkat kepada Barisan Nasional.
Sebab semua wakil rakyat bukanlah UMNO ke, MIC ke atau MCA, (mereka) wakil rakyat Barisan Nasional.
“Saya percaya kita boleh bincang dan membuat satu keputusan yang baik. Negara menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang begitu teruk, rakyat sedang menderita sepatutnya kita kena fokus lebih kepada kebajikan rakyat bukan politik untuk kepentingan diri.
“Setakat ini saya tak dengar apa-apa mesyuarat di peringkat Barisan Nasional, saya tunggu. Buat masa ini kita terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Add Comment