Mi-Voice MIC News

Sejumlah 742 kes pengingkaran Akta 446, 125 telah didakwa – Menteri Sumber Manusia

NILAI, Jun 4: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata sehingga hari ini, sebanyak 742 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 125 kes telah diambil tindakan pendakwaan dan 49 kes pendakwaan telah selesai membabitkan nilai denda berjumlah RM352,000. Saya sekali lagi menyeru para majikan dan pekerja untuk mematuhi SOP dan peraturan dibawah Akta 446,” kata Saravanan selepas melakukan Operasi Pematuhan Akta 446 dan PKP 3.0 ke atas sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan sebentar tadi.

Susulan operasi tersebut, beliau berkata berpuas hati dengan hasil tinjauan dan pemantauan pematuhan di kilang berkenaan.

Akta 446 yang bermula pada 1 September 2020 menetapkan keperluan kepada para majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM). Majikan yang gagal mematuhi Akta 446 berhadapan dengan denda RM50,00 bagi setiap kesalahan.

Menurut Saravanan, kerjasama sektor swasta dan perindustrian di dalam pematuhan segala SOP dan undang-undang ketika ini amatlah signifikan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan memulihkan keadaan ekonomi negara.

“Dalam situasi semasa yang mencabar ini, saya sekali lagi menyeru kepada semua majikan untuk menyediakan penginapan berpusat dan mematuhi Akta 446. Tindakan tegas dari segi undang-undang akan diambil kepada mereka yang didapati gagal mematuhi Akta 446,” kata Saravanan.

https://www.thesentral.my/2021/06/04/sejumlah-742-kes-pengingkaran-akta-446-125-telah-didakwa/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment