Mi-Voice MIC News

Majikan yang tak benarkan pekerja bekerja dari rumah dijejak melalui aplikasi WFW – Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Mei 24: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini mengumumkan kementeriannya telah menambahbaik aplikasi Working for Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei 2021 dengan memperkenalkan satu kategori aduan baharu iaitu “Majikan tidak benarkan Bekerja Dari Rumah (BDR)” bermula 23 Mei 2021. Sehingga kini, terdapat 17 kategori aduan dalam aplikasi WFW yang menyentuh isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja.

“Kategori ini diwujudkan mengambil kira pengumuman Kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuat kuasa 25 Mei 2021 bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Oleh itu, mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW ini.”

“Sehingga jam 9.00 pagi 24 Mei 2021, sejumlah 9 aduan telah diterima berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk Bekerja Dari Rumah (BDR). KSM menerusi jabatan-jabatan berkaitan dibawahnya akan menjalankan siasatan di bawah akta-akta yang berkaitan di bawah Kementerian,” kata Saravanan melalui kenyataan media beliau.

Menurut Saravanan, maklumat siasatan ini akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya terdapat pelanggaran SOP atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langkah untuk mewujudkan kategori baharu ini di atas talian adalah inisiatif KSM untuk mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja.

Aplikasi WFW merupakan satu platform bagi golongan pekerja untuk menyuarakan aduan serta permasalahan berhubung isu-isu perburuhan. Sehingga 23 Mei 2021, aplikasi ini telah merekodkan sebanyak 178 aduan dan daripada jumlah tersebut, 105 aduan adalah oleh rakyat tempatan, manakala selebihnya  pekerja asing.

Negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah WP Kuala Lumpur (75 kes), diikuti Selangor (44 kes), dan Johor (21 kes). Antara isu aduan yang kerap diterima adalah berhubung kelewatan pembayaran gaji, tiada pembayaran gaji, pemberhentian kerja tanpa notis, isu ketiadaan kontrak kerja dan lain-lain isu.

“KSM sentiasa komited untuk mengambil tindakan terhadap aduan dan maklum balas yang telah dikemukakan oleh pihak pekerja. KSM juga menyeru agar warga pekerja dapat menggunakan aplikasi WFW bagi memastikan hak dan kebajikan mereka di negara ini terus terpelihara,” ujar Saravanan lagi.

https://www.thesentral.my/2021/05/24/majikan-yang-tak-benarkan-pekerja-bekerja-dari-rumah-dijejak-melalui-aplikasi-wfw-menteri-sumber-manusia/

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment