KUALA LUMPUR – Sambutan 1 Syawal yang akan disambut oleh seluruh umat Islam di negara ini esok pastinya sangat mencabar apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Lagi-lagi ketika negara sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keadaan Covid-19 belum nampak reda kerana angka-angka masih tinggi malah ada kalanya meningkat.
Itu luahan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dalam perutusan sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.
Kata Vigneswaran yang juga mantan Yang diPertua Dewan Negara, ada segelintir yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat menyambut perayaan seperti kebiasaan seperti amalan ‘balik kampung’, rumah terbuka dan lain-lain.
Namun jelas beliau, pada ketika ini apa yang paling penting adalah sihat tubuh badan selain mengelakkan diri dari dijangkiti atau menjangkiti yang lain dengan penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.
“Kita dalam satu keadaan cukup sukar menyambut kedatangan 1 Syawal kali ini tetapi ingatlah apa yang lebih penting, kita semua perlu bersatu hati dalam menyelusuri cabaran kali ini.
“Kesan jangkitan Covid-19 ketika ini sememangnya mencabar norma kehidupan kita antaranya tradisi ‘rumah terbuka’ yang selalunya dilakukan dengan penuh majmuk malah amalan ziarah menziarahi keluarga, saudara serta sahabat handai tidak dapat dilakukan pada Aidilfitri kali ini.
“Malah kita terpaksa juga mengawal emosi, perasaan kasih ke atas keluarga di kampung halaman kerana perintah larangan rentas daerah dan negeri, jauh sekali bawa keluarga beli belah seperti sebelum-sebelum ini sebelum menjelangnya Syawal.
“Tetapi saya mohon kepada semua untuk bersabar, sama-samalah kita lalui saat sukar ini bersama-sama, bersatu hati dan dengan cukup sabar, kita gunakan era telekomunikasi cukup moden ini bagi merungkai kerinduan ketika ini.
“Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada rakyat beragama Islam termasuk ahli MIC yang beragama Islam menyambut 1 Syawal setelah berpuasa selama sebulan ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Vigneswaran menyeru kepada semua agar mematuhi semua SOP yang telah digariskan oleh kerajaan untuk kebaikan umum serta insan disayangi.
“Marilah kita meletakkan keyakinan program vaksinasi yang telah diperkenalkan dapat akhirnya mengawal penularan Covid-19 dari terus berterusan menghantui kita,” katanya.- MalaysiaGazette
Presiden MIC ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri
Add Comment