KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa melakukan siasatan berhubung kematian suspek, A. Ganapathy setelah ditahan polis baru-baru ini.
Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, insiden tahanan mati atau cedera bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya isu tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya agar segala kecelaruan seperti ini dapat diperjelaskan.
“Kematian Ganapathy tempoh hari selepas hampir sebulan di unit rawatan rapi Hospital Selayang berikutan penahanan oleh PDRM untuk tujuan membantu siasatan perlu disiasat dengan segera oleh KDN.
“Dakwaan ibu mendiang bahawa mendiang telah dinafikan hak untuk menerima perubatan dan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius ketika dalam tahanan sehingga mengakibatkan kematian perlu diberi perhatian dan dijawab dengan sewajarnya” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pada 24 Februari, Ganapathy telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap seorang adiknya yang dicari polis.
Dia dibebas pada 8 Mac dan dimasukkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.
Ibunya, S Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahu bahawa dia dipukul oleh polis dengan menggunakan paip getah.
Mendiang yang bekerja sebagai penjual susu lembu itu mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya perlu dipotong.
Keluarga mendiang mendakwa kesihatannya merosot ketika dalam tahanan polis, mengakibatkan kakinya bengkak dan lebam seolah-olah dipukul.
Sivarraajh berkata, selain siasatan adalah menjadi tanggungjawab KDN untuk memastikan keluarga Ganapathy tidak terdedah dengan ancaman daripada mana-mana pihak.
“Suka atau tidak, setiap kali berlakunya insiden seperti ini, kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa akan hanya merosot lagi.
“Saya percaya kematian ini juga sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.
“Keadilan yang dapat diketengahkan melalui IPCMC bukan sahaja penting untuk memasstikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi PDRM sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
Add Comment