Mi-Voice MIC News

Skim SKRE mampu tangani isu pemilikan rumah pekerja ladang – Menteri Sumber Manusia

BANTING, Mac 31: Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia mampu menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan pekerja ladang dan juga membantu para pekerja yang berdepan masalah kehilangan tempat tinggal sekiranya pengurusan ladang bertukar atau sesebuah ladang dijual bagi tujuan pembangunan, menurut Menterinya Datuk Seri M. Saravanan.

Saravanan berkata sedemikian di dalam perjumpaan bersama pekerja-pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad, di sini pada Selasa.

SKRE merupakan inisiatif kerajaan berbentuk dana pusingan diberikan khusus kepada semua pekerja ladang yang layak dengan menawarkan kemudahan pinjaman mudah berserta kadar faedah terendah pada dua peratus yang boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional.

“Saya berharap dengan sesi dialog yang diadakan, kita dapat membantu pekerja-pekerja ladang ini menyelesaikan masalah pemilikan rumah mereka yang telah berlarutan selama 20 tahun. Hasil pertemuan ini juga, Sime Darby Plantation dan Kementerian Sumber Manusia telah bersatu hati dan bekerjasama menyediakan skim SKRE kepada pekerja dan pesara estet Sime Darby Plantation,” kata Saravanan.

Menurut Saravanan lagi, SKRE merupakan antara usaha bagi menarik minat dan mengekalkan pekerja tempatan untuk terus bekerja di ladang sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing. Kementerian Sumber Manusia akan terus  mengadakan sesi dialog sedemikian bersama pekerja ladang bagi menerangkan tentang Projek Perumahan Pekerja di bawah SKRE.

Sementara itu, kehadiran Ahli Parlimen Kuala Langat Dato’ Dr Xavier Jayakumar serta   Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau ke program tersebut jelas mendapat perhatian serta pujian hadirin.

“Walaupun berlainan haluan dan ideologi politik, kesediaan dan kematangan politik pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama demi menyantuni kebajikan masyarakat, khasnya pekerja ladang sungguh signifikan,” kata pekerja ladang terbabit.

https://www.thesentral.my/2021/03/31/skim-skre-mampu-tangani-isu-pemilikan-rumah-pekerja-ladang-menteri-sumber-manusia/