Mi-Voice MIC News

Chenderen lupa diri, MIC tegur bapa bintang luncur ais

KUALA LUMPUR – “Sungguh mengecewakan apabila seseorang itu bukan sahaja tidak menghargai sumbangan serta jasa walaupun kecil sebaliknya bersikap seperti lupa diri.”

Itu luahan hati Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), Sathasivam Kalimuthu yang kecewa dengan sikap yang bapa kepada bintang luncur ais berusia sembilan tahun, Sree Abiraame Chenderen yang didakwa menuding jari kepada MIC kononnya telah mungkir janji.

Malah bapa bintang luncur itu turut menyalahkan parti kaum India itu kononnya potensi serta impian anaknya itu mungkin tidak kesampaian lagi kerana banyak janji tidak ditepati oleh MIC.

Kata Sathasivam, Chenderen Balakrishnan mendakwa dalam satu portal berita baru-baru ini antara punca mengapa anaknya akan gagal mencapai impian mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2024 kerana banyak pihak gagal membantu walaupun sudah berjanji termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MIC.

Bagaimanapun kata Sathasivam, tidak betul dan tidak patut untuk Chenderen menyalahkan MIC kerana hakikatnya sebelum ini parti itu sudah menyalurkan bantuan sebanyak RM20,000 melalui Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“Kononnya apabila MIC kata hendak membantu terus para penaja tarik diri itu tidak betul, malah MIC sendiri tampil beri dana sebanyak RM20,000. Selain itu, Tan Sri Vigneswaran juga pernah menulis kepada pihak berkuasa Latvia supaya keluarga itu diberikan kelonggaran dalam permohonan visa.

“Tidak cukup dengan itu, MIC juga mempunyai perancangan untuk tampil membantu untuk tempoh lapan tahun akan datang, jadi saya hendak tahu mana pula logiknya untuk Chenderan yang juga Ahli Majlis Sepang serta ahli PKR itu cakap seperti ini?

“Walaupun anda dalam parti yang tidak sehaluan tetapi itu langsung tidak jadi penghalang untuk MIC terutamanya Tan Sri Vigneswaran tampil membantu apa yang boleh, malah KBS melalui menterinya, Datuk Seri Reezal Mercian pernah membantu.

“Mengapa parti anda tidak bantu? Mengapa kerajaan negeri tidak cuba realisasikan impian itu? Mengapa orang lain yang berjanji sakan ratusan ribu itu anda tidak langsung tuding jari dan sebut tetapi serang KBS dan MIC?

“Ini betul-betul sungguh keterlaluan dan seperti kacang lupakan kulit, janganlah biarkan pihak tidak bertanggungjawab pergunakan isu ini yang berkaitan dengan impian anak kamu itu dipolitikkan, tolonglah jangan cakap bohong seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum itu, netizen terutamanya ahli-ahli MIC kecewa dan marah dengan tindakan Chenderan yang menyalahkan parti itu walaupun sudah tampil membantu ketika memerlukan.

Chenderan dengan terbuka mendakwa KBS dan MIC berjanji akan membantu sehingga kebanyakan calon penaja lain menarik diri namun akhirnya berkata tidak dapat membantu bintang cilik tersebut.

“KBS kata hanya boleh berikan status pengecualian cukai untuk sumbangan yang kami kumpulkan. MIC juga mengatakan mereka tidak dapat menolong, menyebabkan kami tiada lagi tempat untuk dituju,” dakwa Chenderan.

Hakikatnya tindakan Chenderan itu sangat merugikan kerana sikap tuding jari seperti ini.

“Sekali lagi saya cakap ramai pemimpin dalam kalangan PKR yang juga berjawatan dan ada kuasa boleh tampil bantu, jadi mengapa cuba salahkan pihak lain sepanjang masa?

“Janganlah, sikap sia-sia ini akhirnya akan merugikan diri sendiri sahaja. MIC cuba membantu apa yang boleh, jangan fitnah seperti ini,” ujarnya.

Sree Abiraame ialah peluncur gaya bebas tahap empat ketika di Latvia pada Mac tahun lalu, sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Malaysia.

Sejak itu, dia berjaya melepasi tahap lima dan enam dan pada 8 Februari ini akan diuji untuk tahap emas gaya bebas seterusnya memberinya peluang baik untuk melayakkan diri ke Olimpik Belia Musim Sejuk. – MalaysiaGazette

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment