MIC Women

WANITA MIC MENGGESA RAKYAT MALAYSIA SENSITIF KEPADA ISU TEKANAN DAN KEMURUNGAN KENALAN MEREKA

Kebelakangan ini gejala bunuh diri memenuhi dada akhbar di Malaysia terutama sekali kes bunuh diri bersama anak di kalangan wanita amat membimbangkan, menurut YBhg Puan S. J. Usha Nandhini, Ketua Wanita MIC Kebangsaan. Puan Usha juga merupakan Mantan Ahli Dewan Negara menyatakan bahawa rekod menunjukkan 465 bilangan kes cubaan bunuh diri telah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh dari Januari hingga Jun tahun 2020 ini.

Puan Usha berpandang kepada kes terbaru yang berlaku di Kampar, di mana seorang Jururawat Hospital Kampar mengakibatkan kebakaran di bilik sewanya dengan motif membunuh diri bersama 2 orang anaknya berumur 6 dan 12 tahun. Puan Usha merasa sedih bahawa mangsa wanita tersebut mengalami isu kemurungan dan mengakhiri hidup 3 beranak dengan membunuh diri, walaupun terdapat pelbagai lorong bantuan yang boleh dicapai. Puan Usha menegaskan bahawa perbuatan bunuh diri sebegitu mampu dielakkan sekiranya ahli keluarga dan rakan-rakan sensitif dalam mengesan cubaan bunuh diri menerusi kelainan tingkahlaku dan perbualan negatif individu tersebut. Beliau menjelaskan bahawa kemurungan adalah isyarat jelas kepada rakan – rakan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan individu terdesak memerlukan bantuan segera. Seharusnya, setiap individu yang berdepan dengan tekanan dan kemurungan perlu tahu bahawa adanya masyarakat penyayang di sekeliling mereka yang sedia mendengar dan mengambil berat serta akan menolong mereka hingga tidak perlu mengakhiri hidup mereka”, kata Puan Usha.

Puan Usha faham bahawa perbuatan bunuh diri sering dikaitkan dengan tekanan (stress) yang berlarutan, yang memaksa individu melakukannya secara spontan, akibat daripada perasaan putus asa dengan anggapan bahawa kehidupan mereka tidak bermakna lagi. Beliau berpendapat bahawa individu yang mempunyai niat untuk membunuh diri kemungkinan berada dalam keadaan pemikiran yang amat terganggu dan tidak tahu sama ada pilihannya betul atau sebaliknya. Maka, pengesanan awal serta sokongan moral daripada ahli keluarga atau kenalan yang rapat adalah kritikal dalam membantu mereka menguruskan perjumpaan dengan pakar perubatan supaya dapat membuntukan niat bunuh diri sama sekali.

“Terdapat juga individu yang terpaksa menghadapi masalah berterusan seperti putus cinta, masalah hubungan peribadi, isu kesihatan kronik, gagal dalam peperiksaan, berhutang dan dihalau keluarga menyebabkan mereka rasa rendah nilai diri dan merasai diri mereka disingkirkan, dalam kesunyian dan tidak dipedulikan serta kecewa dalam hidup. Golongan ini juga kemungkinan dihantui masalah kemurungan, maka sekiranya wujud simptom kemurungan, adalah baik orang yang mengenali mereka bantu mendapatkan kaunseling dari Jabatan Kebajikan atau rawatan daripada pakar psikologi di hospital kerajaan,” rayu Puan Usha. Beliau pasti bahawa satu – satunya jalan untuk menyelamatkan seseorang itu daripada membunuh diri ialah apabila sistem sokongan masyarakat adalah kuat dalam membantu mengesan aktiviti negatif dan simptom kemurungan kenalan mereka.

Puan Usha menyarankan bahawa lebih banyak informasi kesedaran perlu diterapkan mengenai isu tekanan dan kemurungan supaya golongan individu yang bermasalah ada peluang mencari talian bantuan daripada memendam masalah yang mendorong mereka membunuh diri sebagai jalan terakhir. “Terutama sekali sejak penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), faktor – faktor penyumbang stres berpunca dari kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pelbagai. Apabila ada ahli keluarga ditimpa musibah teruk seperti konflik rumah tangga atau masalah kewangan, maka ahli keluarga lain perlu membantu mereka mencari penyelesaian dengan merujuk mereka kepada pakar kaunseling samada dari Jabatan kebajikan atau Hospital kerajaan”, tegas Puan Usha.

Pada masa yang sama, Puan Usha meminta ibu bapa dan penjaga agar memantau pergerakan anak-anak mereka di sekolah dan luar waktu sekolah. “Kita perlu berjaga – jaga untuk mencegah cubaan membunuh diri dalam kalangan golongan muda yang mungkin melalui kemurungan akibat konflik keluarga atau pembelajaran. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memahami masalah yang dilalui oleh anak-anak dan mengambil perhatian serius untuk mengelakkan sebarang isu yang tidak diingini”, kata beliau.

Puan Usha ingin mengingkatkan rakyat Malaysia khas kaum wanita dan ibu – ibu bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lalu dengan kerjasama Mercy Malaysia (Tel: 03 – 77335920) bagi membantu menangani isu stres dan kemurungan individu yang memerlukan bantuan kaunselor seperti stress kerja, risau dan putus harapan. KKM juga menyediakan perkhidmatan psikiatrik termasuk di 1,001 klinik kesihatan mental seluruh Malaysia, empat institusi mental, 66 hospital kerajaan dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat. “Terdapat juga NGO – NGO yang sudi membantu memberi kaunseling dan sokongan emosi kepada individu yang mengalami isu tekanan hidup misalnya Befrienders di talian percuma 03-76272929”, saran Puan Usha.

Puan Usha menyeru kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi – agensi kerajaan dan swasta untuk melebihkan program – program kesedaran menangani masalah stres dan kemurungan. Beliau menyokong tema KKM ‘Let’s TALK Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri’ dan merayu kepada masyarakat agar bantu membangunkan kesedaran umum mengenai pencegahan bunuh diri disamping merujuk kepada pihak kaunseling akan kenalan mereka yang menunjukkan simptom kemurungan. “Individu bermasalah atau ahli keluarga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 yang disediakan oleh KPWKM untuk mendapatkan bantuan profesional, sama ada dari segi emosi atau sokongan sosial, nasihat, bantuan kewangan atau rawatan kesihatan mental”, tegas Puan Usha.

Dalam usaha mencetuskan kesedaran umum mengenai pencegahan bunuh diri dan sokongan emosi, YBhg Puan S. J. Usha Nandhini selaku Ketua Wanita MIC Kebangsaan turut mengambil inisiatif untuk mengurangkan impak tekanan dan kemurungan di kalangan wanita India dengan menganjurkan beberapa siri bengkel Pengurusan Stres dan bantuan khidmat kaunseling di bahagian MIC. Melalui bengkel Pengurusan Stres ini, Puan Usha berusaha membantu kaum wanita untuk belajar menangani tekanan dan mengesan kemurungan diri sendiri pada tahap awal, serta panduan mendapatkan bantuan pakar kaunseling dan perubatan demi kebaikan diri dan kesejahteraan keluarga.

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment