Mi-Voice MIC News

Nasib pengusaha bas sekolah terabai, ramai mungkin gulung tikar, Naib Presiden MIC gesa tindakan segera kerajaan

TELUK INTAN, Nov 24: Naib Presiden MIC Dato’ T. Murugiah memohon tindakan segera kerajaan bagi membantu pengusaha bas sekolah yang makin tertekan akibat penuutupan sekolah berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac yang lepas.

“Sektor perkhidmatan bas sekolah bagai terabai dari pelbagai skim bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan. Pengusaha bas sekolah berhadapan risiko menggulung tikar perniagaan mereka berikutan pendapatan mereka merosot teruk malah ada yang tiada pendapatan langsung. Kita perlu sedar sesi persekolahan itu penting bagi pengusaha bas sekolah, itu punca pendapatan mereka yang tiada punca pendapatan lain,” kata Murugiah selepas mengadakan sesi perbincangan bersama Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Bas Hilir Perak, di sini.

“Pengusaha bas sekolah perlu menanggung kos operasi tetap setiap bulan walaupun ketika cuti sekolah. Kebiasaannya mereka memperoleh pendapatan untuk 11 bulan. Namun, tahun ini mereka hanya memperoleh bayaran tambang untuk Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September. Saya difahamkan terdapat ramai ibu bapa yang tidak mahu, ataupun lebih tepat tidak mampu membayar penuh tambang untuk Mac dan Julai, malah ada yang meminta semula tambang bagi Oktober yang dibayar pada hujung September.”

“Amat membimbangkan lagi unjuran dari Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) yang menjangkakan kira-kira 80 peratus pengusaha bas sekolah di seluruh negara mungkin akan gulung tikar pada tahun hadapan. Rata-rata pengusaha mengalami kemerosotan pendapatan sebanyak 60 hingga 70 peratus bagi tahun semasa, tetapi masih komited menanggung kos penyelenggaraan bulanan bas, gaji pemandu bas serta bayaran pinjaman syarikat kredit bukan bank,” jelas Murugiah lagi.

Sebelum ini kerajaan telah menyalurkan bantuan khas RM600 seorang kepada 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara pada bulan Julai yang lepas.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan agar bantuan ad-hoc sedemikian disalurkan lagi kepada golongan pemandu bas sekolah sebagai bantuan fasa kedua. Kerajaan juga harus mempertimbangkan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah di seluruh negara, bantuan dari segi kewangan serta moratorium bagi bayaran pinjaman melalui syarikat kewangan untuk tempoh yang sewajarnya sehingga keadaan pulih sepenuhnya.”

“Bantuan kewangan kerajaan dapat dimanfaatkan mereka bagi membayar gaji pemandu bas dan menyelenggara bas, di samping memastikan kelangsungan kehidupan mereka sendiri. Jika tiada sebarang bantuan diusahakan, maka risiko besar menanti apabila sekolah dibuka semula sepenuhnya dengan perkhidmatan pengangkutan bagi para pelajar terjejas,” jelas Murugiah.

Dalam pada itu, Murugiah turut memaklumkan bahawa beliau telah mengutus surat kepada Perdana Menteri berkenaan dilemma pengusaha bas sekolah, serta sektor berkait sekolah seperti pengusaha kantin sekolah serta kantin asrama dan memohon bantuan khas disalurkan kepada pengusaha yang terkesan berkenaan.

Nasib pengusaha bas sekolah terabai, ramai mungkin gulung tikar, Naib Presiden MIC gesa tindakan segera kerajaan

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment