Mi-Voice MIC News

MIC menaja 12 lagi penerbangan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India

PUTRAJAYA, Mac 28: Timbalan Menteri Luar, Dato’ Kamaruddin Jaffar mengesahkan bahawa parti MIC bersetuju bagi membiayai 12 lagi penerbangan bagi membawa pulang 1988 rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.

“Wisma Putra merakamkan penghargaan kepada Tan Sri SA Vigneswaran, Presiden MIC di atas ‘smart partnership’ MIC bersama Wisma Putra di dalam memastikan rakyat Malaysia yang terkandas pulang dengan selamat ke tanahair,” kata Dato’ Kamaruddin di dalam sidang media bersama Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia sebentar tadi.

“MIC sebelum ini telah membiayai kos penerbangan bagi membawa pulang 1106 rakyat Malaysia yang terkandas di India melalui 6 pesawat Air Asia dari Chennai dan Trichy, dan 270 rakyat Malaysia dari Bangladesh melalui pesawat MAS. Kini kami difahamkan masih terdapat 1988 rakyat Malaysia yang terkandas di India, dan MIC bersama rakan korporat bersetuju bagi mengatur 12 penerbangan dari Chennai, Trichy, Mumbai, Delhi dan Amritsar,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

“Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran melalui kerjasama Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Hussein kini di dalam usaha mempercepatkan kebenaran mendarat dari kerajaan India, dan rakyat Malaysia akan dibawa pulang secara berperingkat,” tambah beliau lagi.

https://www.thesentral.my/2020/03/28/mic-menaja-12-lagi-penerbangan-membawa-pulang-rakyat-malaysia-yang-terkandas-di-india/