Mi-Voice MIC News

Kerajaan komited terhadap kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara

KUALA LUMPUR, Mac 24: Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein hari ini menjamin kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara menjadi keutamaan kerajaan dan Wisma Putra di dalam sidang media bersama Yang Di Pertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran yang juga merupakan Presiden MIC sebentar tadi.

“Setakat ini ini kita berjaya membawa pulang lebih 1,000 orang rakyat kita dari Iran, India, Mesir, Maldives, Nigeria, Uzbekistan dan banyak lagi negara.”

“Seramai 270 orang rakyat Malaysia di Bangladesh yang terdiri daripada pelajar, kakitangan swasta, penjawat awam serta keluarga mereka akan dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines. Saya berterima kasih kepada Tan Sri SA Vigneswaran dan parti MIC di atas kesediaan membiayai kos penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari India dan Bangladesh ke tanahair,” kata Dato’ Seri Hishammuddin.

“Saya berjanji Wisma Putra akan mengambil segala langkah memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akan dijamin melalui kedutaan kita di negara tersebut, dan usaha membawa pulang mereka akan terus dipergiatkan.”

“Wisma Putra juga giat mengusahakan bantuan pakar dari Kerajaan China serta bantuan peralatan perubatan dari Kerajaan UAE,” tambah beliau lagi.

Dato’ Seri Hishammuddin bersama Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya Datuk Seri M. Saravanan

Sementara itu, Tan Sri SA Vigneswaran mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein kerana membenarkan MIC memainkan peranan di dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

“Hasil kerjasama MIC, Wisma Putra dan Kerajaan India, mereka yang terkandas kini dibawa pulang secara berperingkat. Pesawat Malaysia Airlines akan ke Bangladesh esok bagi membawa pulang 270 rakyat kita.”

“Ramai juga yang bertanya kenapa MIC yang perlu menanggung kos penerbangan, saya ingin jelaskan bahawa ini adalah tanggungjawab semua pihak bagi membantu rakyat kita di masa kecemasan, merentasi batasan politik. Ianya lebih cemas dari langkah kutipan Tabung Pakatan Harapan selepas pilihan raya yang lepas. Hasrat dan usaha kami adalah murni, harap lebih ramai dan entiti yang tampil membantu kerajaan,” jelas Tan Sri SA Vigneswaran.

https://www.thesentral.my/2020/03/24/kerajaan-komited-terhadap-kebajikan-dan-keselamatan-rakyat-malaysia-yang-terkandas-di-luar-negara/