Mi-Voice MIC News

Tiada kompromi di dalam memastikan kebajikan tenaga kerja, jamin Menteri Sumber Manusia

PUTRAJAYA, Mac 22: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bertekad bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja Malaysia dengan mandat yang diamanahkan kepada beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab pada ketika negara mengharungi pelbagai implikasi penularan wabak Covid-19.

“Saya memberi jaminan Kementerian Sumber Manusia akan memastikan tiada kompromi di dalam menyediakan langkah pemulihan dan keselamatan bagi tenaga kerja negara.”

“Pada masa yang sama, kita perlu peka terhadap situasi keseluruhan. Ianya amat penting bagi mempertimbangkan maklum balas dan rintihan komuniti perniagaan, khasnya sektor SME demi memastikan kelangsungan ekonomi negara. Sektor SME yang merupakan tunjang utama ekonomi negara perlulah terus berfungsi di dalam tempoh yang penuh cabaran ini,” kata Datuk Seri M. Saravanan.

“Saya sentiasa bersedia bagi mendengar suara dan cadangan dari semua pihak berkepentingan di dalam sektor tenaga kerja demi mencapai penyelesaian yang memanfaatkan semua. Adalah mustahak bagi pihak majikan dan pekerja bekerjasama sepenuhnya bersama kerajaan, agar kami dapat melaksanakan langkah-langkah yang melindungi kepentingan semua pihak dan memastikan kesejahteraan negara,” tambah Menteri Sumber Manusia lagi.

https://www.thesentral.my/2020/03/22/tiada-kompromi-di-dalam-memastikan-kebajikan-tenaga-kerja-jamin-menteri-sumber-manusia/