Mi-Voice MIC News MIC Youth

Pemuda MIC berazam menjana belia progresif melalui bidang sukan

KUALA LUMPUR, Mac 10: Pergerakan Pemuda MIC bertekad bagi membina golongan belia yang progresif dan produktif melalui bidang sukan.

“Walaupun MIC adalah sebuah parti politik, khidmat kami merentasi batasan politik, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat menjadi keutamaan kami. Sayap Pemuda MIC sentiasa prihatin terhadap hal ehwal golongan belia, seperti pembangunan keusahawanan, sukan, peluang kerjaya, pengajian tinggi, latihan kemahiran dan sebagainya,” kata Thinalan Rajagopalu, Ketua Pemuda MIC selepas Majlis Pelancaran Kit Sukan serta Pasukan Sukan dibawah naungan Biro Sukan Pemuda MIC di Kolej YPC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ternyata bidang sukan adalah suatu platform unggul bagi menyatukan golongan belia. Pemuda MIC akan terus mendorong dan menyokong penglibatan anak muda di dalam bidang sukan.”

“Kami juga akan melancarkan Briged Pemuda MIC pada 5 April 2020 di PWTC, Kuala Lumpur yang akan menjadi penggerak dan pembimbing anak muda di bawah Pergerakan Pemuda MIC. Keperluan dan hala tuju golongan muda akan disantuni dengan lebih efektif dan efisien di bawah gerakan Briged Pemuda,” tambah Thinalan lagi.

Pasukan-pasukan sukan Futsal dan Taekwando di bawah naungan Biro Sukan Pemuda MIC Kebangsaan telah menerima bantuan perkakasan sukan di dalam majlis tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Kolej YPC, Dr Noel Robert.

“Biro Sukan Pemuda MIC akan terus merangka program dan mengusahakan bantuan bagi menggalak penglibatan dan pencapaian golongan muda di dalam bidang sukan. Platform Briged Pemuda MIC yang bakal dilancarkan akan kami manfaatkan bagi menjana dan membina atlet sukan yang berpotensi,” jelas Andrew David, Ketua Biro Sukan Pemuda MIC.

https://www.thesentral.my/2020/03/10/pemuda-mic-berazam-menjana-belia-progresif-melalui-bidang-sukan/