KUALA LUMPUR, Okt 29: Peruntukan RM4.8 bilion terhadap sektor pekerjaan merupakan langkah yang bersesuaian buat negara untuk mengatasi masalah pengangguran.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengumuman itu juga secara tidak langsung dapat menyediakan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan.
“Peruntukan yang begitu besar boleh melahirkan peluang pekerjaan terhadap warga tempatan dan ini juga akan mengurangkan kadar pengangguran bawah empat peratus.
“Selain itu, tambahan RM1.1 bilion juga bagi tujuan reskill dan upskill akan memberi impak positif terhadap kadar pengangguran,” katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Selain itu, Saravanan turut mengulas mengenai tambahan peruntukan sebanyak RM80 juta yang dikhaskan kepada golongan suri rumah dari segi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ujarnya, langkah yang disyorkan Kementerian Kewangan itu mampu memberi peluang tambahan terhadap golongan wanita yang terkesan akibat COVID-19.
Saravanan berkata, pihaknya menyasarkan peluang kerja yang bakal diwujudkan bersifat kompeten yang memenuhi cabaran masa depan serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Sebelum ini, Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pengangguran di Malaysia meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu.
Add Comment