Mi-Voice MIC News

Gesa serah kerusi: Ketua Puteri Umno Sg Siput tak berjiwa parti – Saravanan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan membidas kenyataan Puteri Umno Sungai Siput, Norazura Abdul Karim yang menggesa agar MIC memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU akan datang.

Menyifatkan Norazura sebagai tidak berjiwa parti, Saravanan berkata ia bukanlah pendirian rasmi Umno.

“Saya minta kalau ada perkara macam ini dibangkitkan jangan ada risau sangat sebab ini bukan pendirian Umno. MIC pun ada orang tak sedar diri (seperti ini), MCA pun ada.

“Itu pendirian Puteri Umno yang tidak berjiwa parti, bukan Umno. Jadi jangan jadikannya alasan untuk berbalah (MIC dan Umno),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Tahunan Wanita Pemuda dan Puteri MIC Kebangsaan di sebuah hotel di Klang hari ini.null

Norazura

Terdahulu, Norazura menggesa MIC memberi laluan kepada Umno susulan kegagalan parti itu untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Siput di Perak – yang pernah dianggap kubu kuat parti itu – dalam tiga pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Sementara itu, Saravanan yang juga menteri sumber manusia berharap partinya tidak ‘gelojoh’ membalas kenyataan sekiranya ditekan oleh kelompok sedemikian.

“Jadi jangan gelojoh sangat apabila seorang yang tidak sedar diri buat kenyataan, kita jangan terus lawan buat kenyataan,” katanya.

Kerusi Sungai Siput pernah disandang bekas presiden MIC VT Sambanthan dari 1959 hingga 1974 dan S Samy Vellu dari 1974 hingga 2008.

Bagaimanapun calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj berhasil merampas kerusi tersebut setelah bertanding di bawah tiket PKR.

Selepas itu, Kesavan Subramaniam dari PKR pula memenangi kerusi tersebut pada 2018 setelah Jeyakumar memutuskan untuk bertanding di bawah logo PSM.

https://m.malaysiakini.com/news/569179