Mi-Voice MIC News

KSM terus santuni nasib pekerja yang dihentikan di Singapura – Datuk Seri M. Saravanan

PUTRAJAYA, Dis 14: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Johor 2020, khas untuk semua rakyat Malaysia yang telah diberhentikan kerja di Singapura bermula hari ini sehingga 16 Disember 2020, secara dalam talian.

“Karnival ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni bin Mohammad pagi tadi. Karnival ini adalah antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan KSM dalam membantu individu – individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Sebanyak 30 majikan menyertai karnival ini dengan lebih 1500 jawatan kosong ditawarkan,” kata Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia di dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Selain daripada inisiatif tersebut, Saravanan berkata beliau telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KSM untuk membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura bertujuan memantau perkembangan mereka yang diberhentikan kerja di Singapura.

“Melalui data tersebut KSM boleh merangka pelan tindakan selanjutnya bagi membantu golongan berkenaan terutamanya dalam hal penempatan pekerjaan. Sehingga kini, berdasarkan statistik yang diterima oleh KSM, dianggarkan seramai 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja.”

“Bagi pihak KSM, saya menggesa semua rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura untuk hadir ke mana-mana pejabat PERKESO bagi mendapatkan bantuan carian pekerjaan melalui MYFutureJobsiaitu Portal Pekerjaan Negara. Diharapkan menerusi inisiatif ini, Kerajaan dapat membantu rakyat Malaysia di Singapura yang terkesan untuk bekerja semula dan boleh terus menyara kehidupan diri dan keluarga. Seterusnya, mereka dapat menyumbang kepada pasaran buruh Malaysia dan membantu meningkatkan produktiviti negara,” tambah Saravanan lagi.

Sehingga 7 Disember 2020, hanya 802 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 5 peratus yang diberhentikan kerja di Singapura telah berdaftar dengan portal MYFutureJobs. Daripada jumlah tersebut, seramai 195 orang telah berjaya kembali bekerja.

Justeru, Saravanan menggesa semua rakyat Malaysia yang diberhentikan kerja di Singapura untuk menyertai karnival ini melalui link pendaftaran https://bit.ly/IVJohorDis2020. Bagi sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Careline PERKESO, 1-300-22-8000 atau 03-80915300.

KSM terus santuni nasib pekerja yang dihentikan di Singapura – Datuk Seri M. Saravanan

About the author

Editor

Add Comment

Click here to post a comment